Selangor terus guna aplikasi SeLangkah

Amirudin (dua dari kiri) beramah mesra dengan peniaga selepas perasmian Pasar Moden Sri Muda pada Ahad.
Amirudin (dua dari kiri) beramah mesra dengan peniaga selepas perasmian Pasar Moden Sri Muda pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan terus menggunakan aplikasi SeLangkah yang terbukti berkesan dalam pengesanan kontak rapat pesakit Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sedia berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung penggunaan sistem itu untuk diselaraskan dengan aplikasi MySejahtera.

"Saya tak faham tindakan mereka (kerajaan Persekutuan). Nampak sangat ada niat politik dan tak fikirkan kesejahteraan rakyat.

"Kalau mereka fikir yang baik untuk rakyat, berbincanglah dan kita akan selarikan sistem," katanya selepas Majlis Perasmian Pasar Moden Sri Muda pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Raja, Mohammad Sabu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab dakwaan kemungkinan sistem SeLangkah akan digantikan sepenuhnya dengan aplikasi MySejahtera.

Mengulas mengenai program berkenaan, Haris berkata, pembinaan Pasar Moden Sri Muda itu bermula pada tahun 2017 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu dengan kos keseluruhan bernilai RM28 juta.

Beliau berkata, reka bentuk pasar itu mengetengahkan konsep pasar bertingkat yang mana laluan untuk pengunjung terus bersambung antara tingkat tanpa perlu menaiki tangga.

Artikel Berkaitan:

"Pasar ini mempunyai 60 unit pasar basah (halal), empat unit (tidak halal) serta 56 unit pasar kering. Ia juga dilengkapi 79 gerai makanan dan minuman, 18 unit kiosk serta 32 unit bilik sejuk beku bagi menyimpan keperluan jualan.

"Pasar ini boleh menampung jumlah seramai 800 orang dalam satu masa malah ia turut dilengkapi kamera litar tertutup untuk memastikan keselamatan pengunjung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!