Perhimpunan Agung UMNO fokus isu polemik politik negara

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SEREMBAN - Perhimpunan Agung UMNO pada penghujung bulan ini akan memberi fokus kepada isu semasa parti terutama polemik politik yang sedang berlaku.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ramai ahli parti itu menanti ketetapan dan hala tuju UMNO yang jelas mengenai isu polemik politik melanda negara.

"Rakyat dan ahli parti menanti pendirian UMNO dalam menghadapi pelbagai suasana serta polemik yang ada. Kita tidak boleh menafikan rakyat mendambakan suasana politik yang stabil kerana kestabilan itu kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan.

"Ini adalah saat terbaik untuk kita segarkan kembali semangat dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO sebagai parti induk dalam gabungan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gerak Gempur Pemuda UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO pada Ahad.

Tambahnya, gabungan parti dalam BN adalah model terbaik dalam negara yang akan ditawarkan kepada rakyat bagi menjamin kestabilan negara.

Katanya, melalui pengalaman yang luas selama 61 tahun memerintah, BN boleh menawarkan pengalaman itu terutama menangani isu ekonomi bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan baik, di samping mengekalkan kemajmukan dalam negara.

"Apabila pandemik Covid-19 ini reda dan dapat ditangani dengan baik, kita kembalikan semula mandat kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya.

"Biar rakyat tentukan, mereka sudah merasai 22 bulan kerajaan di bawah Pakatan Harapan dan setahun di bawah Perikatan Nasional. Mungkin sekarang rakyat akan mula sedar betapa penting negara ini perlu kekalkan kestabilan negara dengan kekuatan selama 61 tahun bersama BN.

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Majlis Kerja Tertinggi parti telah membuat keputusan, ia bakal berlangsung secara kombinasi perhimpunan bersemuka dan secara maya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!