Xavier punyai alasan tersendiri: Ahmad Faizal
IPOH - Tindakan pembangkang mengecam bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar sudah dijangka kerana tidak puas hati dengan keputusannya yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Ahli Parlimen Kuala Langat itu mempunyai alasan untuk bertindak sedemikian.
Menurutnya, keputusan Xavier tidak dipengaruhi atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.
“Saya nampak kerajaan tidak melakukan tekanan kepada mana-mana pihak dan bukan mudah untuk memberi tekanan atau membeli pemimpin yang pernah menjadi menteri.
“Beliau adalah bekas Naib Presiden, bukan baru dalam parti berkenaan. Saya fikir bukan mudah untuk memberi tekanan. Jelas sekali ia spekulasi kerana tidak berpuas hati,” katanya selepas Sesi Penerangan Bersatu Perak Bersama Ketua Penerangan Bersatu di Hotel Casuarina di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti
Ahmad Faizal berkata, dakwaan yang dilemparkan terhadap Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Pakatan Harapan (PH) perlu disertakan bukti agar rakyat tidak berprasangka.
Pada masa sama, Ahmad Faizal juga tidak menolak kemungkinan ramai ahli parlimen akan mengikut langkah Xavier memberi sokongan kepada PN.
Katanya, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi indikasi dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan PN disifatkan mungkin betul.
“Kerajaan PN ini adalah sebuah kerajaan baik. Saya fikir dalam hari ramai ahli parlimen dan rakyat tertarik dengan kerajaan PN.
“Ada yang sudah mula terfikir memberi sokongan itu masuk akal. Ada kebenaran apa yang disebut Annuar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!