Kebersihan pangsapuri pengaruh keselesaan, kesihatan komuniti: Amirudin
SUBANG JAYA - Cabaran komuniti masa kini adalah berhadapan dengan isu kebersihan yang memberi kesan terhadap keselesaan dan keceriaan komuniti khususnya mereka di kawasan flat kos rendah, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, jika isu kebersihan tidak ditangani, masalah lain seperti peningkatan kes jenayah, kemerosotan tahap kesihatan, isu kejiranan dan masalah sosial yang memberi kesan dalam aspek pematuhan peraturan bandaraya.
“Oleh itu, pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan Program Pemberdayaan Komuniti Indah dan Ceria 2021 bagi memberi kesedaran dan pendidikan berkaitan kebersihan, meningkatkan ekonomi serta mengatasi masalah infrastruktur di pangsapuri ini.
“Selain mengukuhkan jaringan hubungan antara penduduk dengan pihak MBSJ bersama pihak kerajaan negeri, program ini diadakan untuk memupuk budaya bantu-membantu sesama masyarakat dan berganding bahu dalam menjaga kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemberdayaan Komuniti Indah dan Ceria 2021 di Pangsapuri Seri Nipah, Taman Pinggiran USJ di sini pada Ahad.
Hadir sama, Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, program itu merupakan program pertama yang diadakan di Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 5 Pangsapuri Seri Nipah yang mempunyai penghuni seramai 2,500 orang.
Selain perlaksanaan kempen 10 minit hapus aedes oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), aktiviti mengecat rumah sampah dan program kitar semula, Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Covid-19 dengan kerjasama MPP Zon 5 turut dihulurkan kepada 50 penerima yang tinggal di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!