Tebatan banjir di Taman Botani Perdana siap hujung tahun ini

Annuar meninjau keadaan tasik di Taman Botani Perdana pada Ahad.
Annuar meninjau keadaan tasik di Taman Botani Perdana pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek tebatan banjir di Taman Botani Perdana di sini siap 60 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek dijalankan sejak awal tahun lalu bagi mengatasi isu banjir kilat di Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) yang menyebabkan banyak kerosakan harta benda awam.

Menurutnya, projek tersebut dijangka mampu mengawal dan mengatasi masalah banjir dengan menggunakan sistem mesra alam.

"Kolam tadahan akan dibina di bawah tanah jadi di bahagian atasnya boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti ruang permainan kanak-kanak atau pengindahan landskap," katanya ketika mengadakan lawatan ke Taman Botani Perdana pada Ahad.

Beliau berkata, projek tebatan banjir itu berjalan dengan baik dan beliau turut mencadangkan supaya menggunakan sistem yang dapat membantu meningkatkan kualiti air dalam tasik.

"Tasik Perdana ini tasik mati dan airnya tidak mengalir. Ini menyebabkan ia ditumbuhi alga yang warnanya bertukar hijau kerana tiada sistem 'flash out'.

"Jadi saya minta kalau ada kaedah yang membolehkan air tasik mengalir atau menggunakan kaedah lain untuk perbaiki dan tingkatkan kualiti air kepada kelas dua," katanya.

Dalam program tersebut, beliau meluangkan masa hampir dua jam mengelilingi Taman Botani Perdana yang turut diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagi meninjau taman awam di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat tiga perancangan major di kawasan itu antaranya menyediakan akses termasuk pengangkutan awam yang menghubungkan KL Sentral ke taman itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

"Kita juga rancang untuk bangunkan Garden City di kawasan sekitar Jalan Cenderasari untuk melengkapi Taman Botani Perdana menjadi lebih cantik dan terancang.

"Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada Taman Tugu menjadikan hutan rimba yang boleh digunakan komuniti dan selari dengan pembangunan di sekelilingnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!