Tindakan PDRM longgar syarat kredit BM perlu dipertimbang semula

Mohamad Saleeh
Mohamad Saleeh
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) meminta Polis Diraja Malaysia (PRDM) mempertimbangkan semula keputusan untuk melonggarkan syarat bagi permohonan jawatan konstabel tanpa kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, kelonggaran yang diberikan kepada calon bukan bumiputera itu agak aneh kerana menolak ketetapan yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Bahkan beliau berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan malah dianggap sebagai teras identiti negara bangsa.

“Ia seolah-olah menggambarkan keputusan tidak bijak atau sistem pendidikan kita gagal dalam memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu.

“Selain itu, penolakan syarat ini juga secara tidak langsung merencatkan pemartabatan bahasa Melayu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din memaklumkan warga Malaysia bukan bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan PDRM tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh berkata, kelonggaran itu juga akan menyebabkan kaum bukan bumiputera tidak lagi berusaha untuk menguasai bahasa Melayu sedangkan itulah landasan Dasar Perpaduan Nasional yang diproklamasikan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bahasa Melayu akan terus dipandang rendah, tidak bernilai malah tidak lagi menjadi kebanggaan rakyat sekiranya nilai tersebut direndahkan sendiri oleh agensi kerajaan.

“Pengecualian kepada calon yang tidak lulus kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu sahaja yang wajar dikorbankan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara.

“Perkara ini menyambung tragedi bahasa kebangsaan yang sudah sekian lama dijadikan bahan tawar-menawar apabila timbul sesuatu permasalahan.

“Kami juga menaruh kebimbangan seandainya calon anggota polis ini terdiri daripada pelajar yang kurang baik dan tidak cemerlang semasa persekolahan mereka, akibatnya nanti akan lebih memburukkan imej institusi kepolisian,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya memahami keperluan PDRM untuk mendapatkan anggota yang mahir bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil.

Namun katanya, masalah tersebut dapat diatasi dengan melaksanakan kursus kecekapan dan kemahiran berbahasa etnik lain dalam kalangan anggota sedia ada dan pegawai baharu yang akan dilantik.

“Anggota polis sepatutnya terdiri daripada calon yang berintegriti tinggi serta memahami dan menerima status bahasa Melayu sebagai syarat penting untuk menjadi warganegara kerana kerjaya polis sangat tinggi maruahnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!