Mahu P.Pinang jadi venue pertandingan ratu cantik

Yeoh Soon Hin
Yeoh Soon Hin
A
A
A
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi destinasi bagi pertandingan ratu cantik, dalam menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin berkata, kekayaan landskap semula jadi yang wujud di Pulau Pinang mampu menjadikan ia venue yang berdaya maju dalam penganjuran pertandingan ratu cantik.

Menurut beliau, Pulau Pinang berkongsi persamaan dengan Sanya, bandar raya pantai di selatan Pulau Hainan, China, yang terkenal sebagai venue pertandingn ratu cantik antarabangsa sejak beberapa tahun lepas, sekali gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongannya.

“Seperti Sanya, Pulau Pinang juga memiliki banyak landskap yang berpotensi untuk dijadikan venue pertandingan ratu cantik,” katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Terdahulu, 26 finalis Miss CosmoWorld 2018 dari 23 negara menghadiri sidang akhbar itu pada hari ketiga program jelajah empat hari mereka ke Pulau Pinang, bersama-sama penganjur Miss CosmoWorld 2018 Carrie Lee, jurulatih partandingan ratu cantik Pooja Bimrah, pakar strategi Roadtrippers.asia Andrew Chan dan pengarah New Bob Group Datuk Seri Dr Lee Ville.

Carrie, yang juga pengarah urusan CL Skin Sdn Bhd berharap finalis Miss CosmoWorld 2018 dapat berkongsi pengalaman mereka dan mempromosi Pulau Pinang di negara masing-masing.

“Saya sungguh gembira kerana mendapat peluang ini di mana peserta pusingan akhir pertandingan ratu cantik itu meluangkan masa selama beberapa hari untuk meneroka dan menikmati keindahan Malaysia setelah menjalani latihan keras di Kuala Lumpur minggu lepas,” katanya.

Miss CosmoWorld, yang dianjurkan sejak 2005, adalah pertandingan ratuk cantik antarabangsa yang berpusat di Kuala Lumpur dan melibatkan lebih 20 negara.

Pertandingan Miss CosmoWorld tahun ini, yang bertemakan "Diversified Beauty dan disertai 27 finalis, akan berlangsung pada 2 Dis di JW Marriott Hotel, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan:


Objektif Miss CosmoWorld adalah untuk memilih gadis moden kontemporari yang bersikap bebas dan bersemangat tinggi tentang kehidupan serta memiliki kualiti kepimpinan yang menarik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!