Stesen janakuasa kukuh kerjasama Johor-Singapura
ISKANDAR PUTERI - Sebuah stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang baharu di Johor Bahru dengan kos RM240 juta sudahpun beroperasi hujung tahun lalu menyalurkan bekalan elektrik kepada Singapura.
Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, stesen janakuasa baharu itu sekali gus mengukuhkan kerjasama antara Johor dan republik berkenaan dalam bekalan elektrik.
"Platform itu bukan bermaksud proses penjualan bekalan elektrik sebaliknya pembekalan tenaga antara Johor dan Singapura. Sekiranya Singapura mengalami kekurangan bekalan elektrik, Johor akan berikan bantuan begitu juga sebaliknya.
"Proses interconnection itu sudah lama diwujudkan antara kedua-dua negara dan platform yang baharu dibina ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin. Kos pembinaan stesen janakuasa itu ditanggung kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Program Ceria Sekolah di Restoran Seri Pantai di sini pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.
Mahdzir menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Pelangi di sini.
Mahdzir berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya sembah maklum kepada baginda mengenai Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) di Pasir Gudang yang telah beroperasi bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPG mampu menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT), masing-masing berkapasiti 720MW.
"SPG ini yang memulakan pembinaan pada Oktober 2017 bagi menggantikan Loji Janakuasa Sultan Iskandar yang juga terletak di Pasir Gudang. Loji janakuasa itu yang menjangkau usia 40 tahun pada tahun depan akan dihenti tugas pada Ogos 2022.
"Jadi, Sultan Johor berkenan untuk merasmikan SPG yang dijangkakan dibuat pada tahun ini juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!