Peniaga rugi RM3,500 ditipu ejen pembantu rumah

Mesej antara mangsa dan ejen pembantu rumah yang dikenali menerusi Facebook. Gambar kecil: Adzli Abu Shah
Mesej antara mangsa dan ejen pembantu rumah yang dikenali menerusi Facebook. Gambar kecil: Adzli Abu Shah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang peniaga pakaian kanak-kanak mendakwa kerugian sebanyak RM3,500 selepas diperdaya ejen pembantu rumah pada awal bulan lalu.

Mangsa dikenali sebagai Nee, 38, mendakwa, dia mengenali ejen pembantu rumah dari Pulau Pinang itu menerusi laman sosial Facebook.

Dakwanya, ejen berkenaan ada menghantar lebih 20 gambar pembantu rumah kepadanya untuk dipilih.

"Pada mulanya saya diminta bayar RM5,500 tetapi saya hanya boleh bayar RM3,500.

"Selepas membuat pembayaran itu, tiada lagi mesej diterima," dakwanya yang memerlukan pembantu rumah untuk menjaga neneknya.

Dakwanya, dia kemudian cuba menghubungi ejen menerusi Facebook, namun diberi alasan berdepan masalah kesihatan serta tidak dapat menyediakan pembantu rumah dalam masa terdekat.

"Saya tidak berpuas hati dengan alasan itu dan mahu membatalkan hasrat serta menuntut wang yang telah dibayar, namun dimaklumkan hanya boleh dapat semula RM500 sahaja sementara baki yang lain akan dibayar bulan seterusnya," dakwanya.

Nee berkata, dia menyedari ditipu setelah mendapati akaun Facebook ejen itu telah ditutup dan bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!