Jangan bebankan ibu bapa, selaraskan harga

Normala
Normala
A
A
A

KLUANG - Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menggesa agar PIBG di sekolah tidak mengenakan yuran PIBG dengan kadar tinggi memandangkan keperitan hidup rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, Pendidik berharap kerajaan dapat menyelaras harga yuran PIBG dengan kadar berpatutan tanpa membiarkan pihak PIBG sewenang-wenangnya mengenakan kadar yuran PIBG yang tinggi dan tidak rasional.

"Walaupun sesi persekolahan bermula hampir dua bulan, masih ada ibu bapa tidak mampu selesaikan yuran PIBG disebabkan kadar tinggi dan ada terpaksa bayar ansuran sehingga ke pertengahan tahun.

"Memang tidak dapat dinafikan yuran PIBG ada kebaikan dan manfaatnya iaitu untuk memudahkan aktiviti berkaitan pelajar dan manfaat untuk sekolah tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan dari Kementerian Pendidikan (KPM), tetapi biarlah berpatutan dan tidak membebankan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Pendidik juga turut menerima rungutan daripada ibu bapa yang kesal kerana ada segelintir pihak sekolah mengenakan kadar yuran PIBG tinggi selain ada PIBG mengenakan yuran tersebut mengikut bilangan anak yang bersekolah.

Katanya, biarpun ada suara sumbang yang menyalahkan ibu bapa kononnya tidak bijak membuat perancangan perbelanjaan persekolahan anak, mereka perlu akur bukan semua golongan mampu, apatah lagi jika mempunyai ramai zuriat yang masih bersekolah.

"Persoalannya, adakah kerajaan tidak memperuntukkan kos untuk program penting yang dijalankan di sekolah seperti hari sukan, motivasi dan sebagainya sehingga memerlukan yuran PIBG dikenakan dengan kadar yang tinggi untuk menampung kos-kos sebegini?.

"Dengan harga getah dan pendapatan hasil sawit yang merosot, kos sara hidup yang tinggi serta harga barang yang mahal perlu diambil kira sebelum menetapkan kadar yuran PIBG agar tidak membebankan dan saya yakin persefahaman di antara kedua-dua pihak (sekolah dan ibu bapa) boleh membantu mengurangkan bebanan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pendidik mencadangkan KPM perlu campur tangan dalam membuat penyelarasan kadar maksima yuran PIBG ini selain ahli jawatankuasa PIBG juga harus kreatif dan memiliki inisiatif yang tinggi dalam mencari dana melalui komunikasi baik dengan syarikat swasta atau korporat yang mempunyai peruntukan untuk tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Bukan semua ibu bapa mampu untuk bayar yuran PIBG kerana selain persekolahan anak, mereka juga ada komitmen lain yang perlu dilangsaikan seperti bayaran ansuran rumah, kereta, belanja isi rumah dan sebagainya.

"Namun, mahu atau tidak ibu bapa perlu juga melangsaikan yuran PIBG ini dan sebab itu pentingnya ibu bap untuk menghadiri mesyuarat PIBG agar segala keputusan yang akan diambil dapat memuaskan hati setiap pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!