Filem, drama rasuah didik rakyat

ALIFF AL-FARABBY
ALIFF AL-FARABBY
A
A
A

IPOH - Anak muda perlu tegas menolak sebarang bentuk imbuhan yang tidak sepatutnya diterima mereka sebagai langkah permulaan menolak rasuah.

Penyampai radio Nasional FM, Aliff Al-Farabby A Rahim berkata, perbuatan menerima imbuhan yang tidak sepatutnya merupakan salah satu dorongan untuk seseorang itu terlibat dengan rasuah.

Menurutnya, walaupun imbuhan itu sedikit tetapi jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan sekali gus akan memusnahkan integriti seseorang individu itu.

“Rasuah ini bermula dengan jumlah yang sedikit namun disebabkan tiada rasa bersalah, ia akan mendorong seseorang untuk mendapatkan jumlah sogokan yang lebih banyak dengan cara yang sangat mudah.

“Sesetengah individu yang bersikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mengambil jalan mudah seperti ini dengan menerima suapan kerana mereka sudah hilang rasa malu selain tidak lagi mampu mengawal diri,” kata anak kelahiran Bagan Datuk itu kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kesedaran terhadap bahaya rasuah harus diterapkan di dalam diri masyarakat menerusi pelbagai medium.

Katanya, antara yang boleh diusahakan adalah menerusi kempen di media massa seperti menerbitkan drama mahupun filem yang berkisar tentang rasuah.

Jelasnya, mungkin kisah-kisah kesalahan rasuah berprofil tinggi boleh dijadikan dokumentari bagi menceritakan kepada masyarakat bagaimana kesan perbuatan jenayah itu.

Artikel Berkaitan:

“Medium seperti ini boleh kita gunakan bagi memberikan kesedaran yang lebih berkesan melalui kandungan kreatif media. Saya tak nafikan memang ada kisah-kisah seperti ini dijadikan drama atau filem tetapi tidak salah untuk memaparkannya sekerap mungkin.

“Langkah ini juga sekali gus menjadikan selebriti ini menggunakan bakat mereka untuk sesuatu yang memberi impak dalam masyarakat iaitu mendidik peminat mereka bencikan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff Al-Farabby menjelaskan, sebagai seorang personaliti media, sudah menjadi tanggungjawabnya menampilkan peribadi yang positif kepada umum.

Katanya, menerusi platform yang ada, menjadi tanggungjawab untuk sentiasa memberi nasihat kepada masyarakat terutama generasi muda agar tidak terpengaruh dengan gejala rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!