Akhlak mulia itu dakwah

A
A
A

BARU-BARU ini saya dihubungi seorang sahabat yang ketika itu dalam keadaan sangat teruja.

Kisahnya bermula apabila selepas Subuh pada hari Jumaat yang mulia, beliau dihubungi seorang mualaf yang beliau syahadahkan tahun lepas.

Mualaf itu memberitahu sahabat saya bahawa ada seorang kenalan lama bertanyakannya tentang Islam.

Selepas solat Jumaat, sahabat saya, Abdul Halim Teng terus ke Bukit Tinggi untuk bertemu pak cik X.

Setibanya di Bukit Tinggi, beliau terkejut kerana sahabat mualaf tersebut telah membawanya ke sebuah restoran makanan laut yang dikenalinya sejak 17 tahun yang lepas. Ia kepunyaan sahabat baik ayahnya.

Halim Teng agak gementar dan tangannya berasa sejuk dan basah. Hampir empat tahun beliau tidak makan di restoran itu kerana makanan yang disediakan di situ tidak halal.

Bagaimanapun, kedatangannya ketika itu bukanlah untuk makan, tetapi untuk bercerita tentang Islam.

Sebaik tiba, pak cik X terkejut apabila terpandang Halim Teng. Ditanya bila masuk Islam, Halim Teng mengatakan sudah tiga tahun lebih menjadi seorang Islam. Halim Teng terus bertanyakan pak cik X pula bagaimana boleh meminati Islam.

Artikel Berkaitan:

Dengan rasa seronok, pak cik X mengaku beliau meminati Ustaz Ebit Lew yang banyak membantu orang susah walaupun mereka bukan Islam. Lebih membanggakan lagi baginya, Ustaz Ebit Lew juga orang Pahang seperti dirinya.

Turun padang

Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lepas, ramai orang Islam turun padang dan turut membantu masyarakat Cina yang susah hinggakan dia berasa malu kerana dirinya sebagai orang Cina tidak dapat membantu sebanyak orang Islam yang membantu bangsa beliau.

Pak cik X bertanyakan banyak persoalan berkaitan Islam. Antaranya bagaimana dengan perniagaan restoran makanan laut mereka jika mereka memeluk Islam? Adakah mereka perlu tutup kerana ada menu babi yang telah ada sejak generasi ayahnya?

Halim menerangkan mereka tidak perlu menutup perniagaan itu, malah katanya restoran itu akan terus lebih maju selepas Islam.

Kata Halim, jika masakan sedap, pelanggan pasti akan terus datang walaupun tiada menu babi.

Sekarang pelanggan mereka daripada kalangan orang bukan Islam Cina dan India sahaja.

Jika tiada menu babi dan apabila mereka belajar cara masakan halal seterusnya mendapat sijil halal, pelanggan mereka sudah pasti akan bertambah kerana orang Islam akan menjadi pelanggan mereka juga.

Bagaimana pula dengan periuk dan pinggan mangkuk yang digunakan? Perlukah mereka buang dan ganti yang baharu? Halim menerangkan bahawa dalam Islam, ada cara untuk membersihkan barangan tersebut sebelum boleh digunakan semula.

Tukang masak juga tidak perlu ditukar. Asalkan makanan halal dan bersih dan mereka ikut cara Islam, masakan mereka juga halal.

Dalam Islam, pembaziran adalah sesuatu yang tidak baik. Islam itu indah dan mudah. Segalanya diajar dan diterangkan.

Banyak juga persoalan yang ditanyakan termasuk sama ada perlu tukar nama atau tidak, cara berpakaian serta perbezaan cara hidup.

Dengan hidayah dari ALLAH SWT, pak cik X dan isteri serta tiga anak mereka telah disyahadahkan oleh Abdul Halim Teng.

Semoga dipermudahkan bagi mereka untuk memahami serta mengamalkan Islam dengan baik. Bagi saya, kisah ini menunjukkan kepentingan akhlak mulia; bagaimana ia menjadi medium dakwah yang sangat berkesan.

Dalam senario dunia hari ini yang penuh pancaroba, kita perlu menyahut cabaran membina akhlak Islami. Moga dengan cara ini, lebih ramai yang sedar dan faham akan kebenaran dan keindahan Islam dan kembali kepada agama fitrah ini.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!