‘Jangan sampai insiden sama berulang’

AB GHANI
AB GHANI
A
A
A

“BUKAN saja penyokong Selangor FC tetapi penyokong mana-mana pasukan juga diminta patuh dengan SOP (prosedur operasi standard) sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung ketika ini.”

Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan ketika mengulas insiden segelintir penyokong Selangor FC yang berkumpul di pekarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Menurut Ab Ghani, tindakan penyokong Selangor FC terbabit sebelum berlangsungnya aksi Liga Super antara Selangor FC dan KL City FC mampu mengundang risiko lebih buruk terhadap status penganjuran Liga-M musim ini.

“Sudahlah melanggar SOP yang telah ditetapkan, malah insiden sedemikian dikhuatiri menjejaskan usaha MFL serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan kelulusan kerajaan agar penonton dibenarkan hadir ke stadium.

“Selaku badan pentadbir Liga-M, kami di pihak MFL berharap insiden seperti itu tidak akan berulang lagi... bukan hanya di Stadium MBPJ tetapi di semua venue Liga-M di seluruh negara.

“Saya juga meminta penyokong mana-mana pasukan menghormati garis panduan yang ditetapkan. Jangan disebabkan satu insiden yang berlaku semalam (Sabtu), memberi kesan yang lebih besar kepada Liga-M,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam kenyataan media pada Sabtu malam, Ab Ghani menegaskan, tindakan segelintir penyokong Selangor FC itu jelas melanggar perintah kerajaan yang mana saingan Liga-M ketika ini masih berlangsung tanpa penyokong di stadium.

“MFL sangat kesal dengan perbuatan segelintir penyokong yang bertindak membuat perhimpunan di luar stadium di mana ia jelas menyalahi tuntutan SOP dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya menggesa semua pihak agar lebih sensitif dengan situasi pandemik Covid-19 di mana mereka seharusnya bijak memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan dengan cara betul selaras tuntutan SOP.

Selangor FC menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook pasukan berkenaan pula meminta penyokong mereka tidak melakukan tindakan yang boleh memberi kesan buruk kepada peminat bola sepak negara secara keseluruhannya susulan melanggar SOP.

“Kami faham semua penyokong Selangor teruja untuk kembali ke stadium. Kami sangat menghargai semangat anda semua dan sokongan yang tidak pernah berhenti. Kami berharap penyokong semua terus bersabar, kekal di rumah dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!