Pola tingkah laku pengundi baharu sukar diramal
SHAH ALAM - Perlaksanaan undi pilihan raya pada usia 18 tahun boleh menjadi mimpi ngeri kepada calon-calon yang mempunyai kes rasuah kerana pengundi baharu mungkin bersifat ‘tidak memaafkan’.
Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, faktor ketidaktentuan mengenal pasti bentuk sokongan pengundi baharu juga membuatkan Pilihan Raya Umum (PRU) menjadi lebih kompetitif.
Menurutnya, secara teori, apabila umur purata pengundi menurun, parti dan calon menghadapi pengundi generasi baharu yang lebih mengetahui isu semasa dan lebih pandai menggunakan media sosial.
“Secara operasinya, pelaksanaan undi 18 tahun terikat dengan pendaftaran pengundi automatik.
“Jika itu dilaksanakan seperti dirancang iaitu pada Jun atau Julai, seramai lapan juta pengundi baharu masuk ke dalam pendaftar pengundi, empat juta berumur di antara 18 hingga 20 tahun, empat juta lagi 21 tahun ke atas tetapi tidak berminat mengundi.“Kemasukan lapan juta ini bermaksud ramai pengundi yang dahulunya tidak prihatin tentang politik dan tidak akan mengundi, sekarang layak mengundi dan boleh terangsang oleh isu-isu tertentu untuk mengundi.
“Tidak tahu berapa ramai dan untuk siapa mereka akan menyokong. Ketidaktentuan ini akan menjadikan PRU lebih kompetitif.
“Calon-calon dan parti mesti lebih berjaga-jaga. Membeli undi menjadi lebih susah kerana parti tidak cukup maklumat rapi untuk tahu kehendak dan pola tingkah laku pengundi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pelaksanaan undi 18 tahun membuktikan kematangan sistem demokrasi negara.
Katanya, ia selari dengan perkembangan trend demokrasi dunia di mana kebanyakan negara pengamal demokrasi telah menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
“Jadi Malaysia sebagai pengamal demokrasi juga tak ketinggalan dalam amalan berkenaan.
“Suara anak muda juga penting untuk menjadi pendedahan awal supaya mereka ambil berat tentang perkembangan politik dan berani membuat keputusan berkaitan masa depan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!