Kontraktor mahu pinjam RM150,000 tapi rugi RM40,000
KUANTAN - Seorang kontraktor mengalami kerugian RM40,000 selepas tertipu dalam urusan pinjaman wang secara dalam talian pada Khamis.
Mangsa berusia 31 tahun membuat sejumlah bayaran bagi mendapatkan pinjaman RM150,000 untuk urusan perniagaan bagaimanapun pinjaman yang diiklankan syarikat pinjaman wang 'berlesen' melalui sebuah laman sesawang itu sebenarnya tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berminat dengan tawaran pinjaman itu telah menghubungi ejen syarikat berkenaan melalui nombor telefon yang tertera pada iklan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurutnya, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman selepas diberikan penerangan berhubung syarat kelulusan dan menerima surat kelulusan awal pada Jumaat.
"Mangsa diminta membuat bayaran RM1,500 untuk 'duty stamp' dan dia berbuat demikian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki.
"Selepas bayaran itu dibuat, mangsa dihubungi lelaki lain atas urusan sama meminta beberapa bayaran tambahan termasuk bayaran untuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta bayaran perkhidmatan Bank Negara dengan jumlah keseluruhan RM22,891," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Wazir berkata, demi RM150,000 yang hendak dipinjam itu, mangsa akur apabila membuat bayaran tersebut melalui dua akaun bank atas nama individu berbeza.
"Tidak cukup dengan itu, mangsa terus dihubungi dan diminta membuat bayaran kepada Bahagian Siasatan Pencegahan Wang Haram (AMLA) sebagai syarat kelulusan dan dia menjelaskan bayaran itu dengan jumlah RM15,609," katanya.
Menurutnya, mangsa mula curiga dengan urusan itu apabila diminta membuat bayaran pendahuluan bulanan RM11,995 bagaimanapun dia tidak membuat bayaran tersebut.
"Mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Ahad kerana syak dia telah ditipu apabila gagal menerima wang pinjaman itu setelah bayaran proses sudah dibuat dalam jumlah yang agak besar.
"Susulan laporan polis dibuat mangsa, kertas siasatan kes tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kita percaya suspek memperdaya mangsa menyerahkan wang dengan menawarkan iklan pinjaman wang yang tidak wujud," katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya kini sedang mengesan kesemua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!