Konvensyen DAP: Dakwaan ada pengundi hantu tidak benar

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan wujudnya ‘pengundi hantu’ pada Konvensyen DAP Perak ke-19 sehingga mencetuskan insiden kekecohan pada konvensyen itu pada Ahad adalah tidak berasas, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaannya, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu dan insiden tersebut tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan DAP.

“Dakwaan berkenaan ‘pengundi hantu’ adalah tidak berasas sama sekali. Senarai perwakilan untuk konvensyen biasa negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

“Setiap wakil yang layak untuk hadir ke konvensyen biasa negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh pengurus pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, berlaku sedikit kekecohan sewaktu Konvensyen DAP Perak ke-19 di Ipoh, apabila didakwa wujudnya pengundi hantu yang akan memilih ahli ke Jawatankuasa Negeri dan isu tempoh pengundian yang tiba-tiba dilanjutkan.

“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti, menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka dan sentiasa menjunjung perlembagaan parti yang menjadi asas kepada perjalanan serta fungsi parti,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Konvensyen DAP Perak kecoh

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!