Tak sempat sambut hari lahir anak

Lokasi Muhammad Firdaus ditemui lemas ke dalam parit di hadapan rumahnya di Parit 1 Ban 4 Sungai Sireh, di sini lewat petang Ahad.
Lokasi Muhammad Firdaus ditemui lemas ke dalam parit di hadapan rumahnya di Parit 1 Ban 4 Sungai Sireh, di sini lewat petang Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang bapa sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran anaknya pada Mei depan apabila kanak-kanak itu ditemui lemas di dalam parit di hadapan rumahnya di Parit 1 Ban 4 Sungai Sireh, di sini lewat petang Ahad.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Firdaus Azuaan, 3, ditemui tidak sedarkan diri di dalam parit berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Bapanya, Azuaan Bakri, 35, berkata, mereka sekeluarga sepatutnya menyambut hari lahir Muhammad Firdaus pada 22 Mei depan.

"Setiap tahun kami sambut hari lahir anak, tapi luluh hati kami apabila Muhammad Firdaus pergi buat selamanya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Azuaan berkata, lebih memilukan Allahyarham Muhammad Firdaus merupakan satu-satunya anak lelaki tunggal daripada tiga beradik.

"Saya hilang satu-satunya anak lelaki malah anak bongsu yang menjadi kesayangan kami sekeluarga hilang dalam sekelip mata.

"Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang keletah periangnya yang sudah mula belajar bercakap," katanya.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Azman bakri, 37, berkata, kejadian berlaku apabila Muhammad Firdaus ditemani datuknya, Bakri Dol, 87, bermain di laman depan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan Muhammad Firdaus bermain membaling batu ke dalam parit sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam parti terbabit.

"Pada masa itu ayah (Bakri) nampak Muhammad Firdaus terjatuh dan tidak sempat menyelamatkan arwah sebelum bergegas memaklumkan kepada ahli keluarga lain di rumah," katanya.

Katanya, bapanya itu sukar menyelamatkan Muhammad Firdaus kerana mengalami masalah strok pada bahagian leher.

"Biasanya arwah bermain di laman rumah sahaja, jarang pula berhampiran berhampiran parit, tapi tak sangka arwah menemui ajal di situ," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas dalam parit di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Sireh di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pada jam 7.30 malam itu disedari bapa mangsa selepas mendapati anaknya yang bermain di hadapan rumah didapati hilang dari pandangan.

Menurutnya, bapa mangsa kemudiannya mencari mangsa dan menemuinya di dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Budak 3 tahun lemas dalam parit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!