'Cerita saya masih belum berakhir'

RONALDO
RONALDO
A
A
A

PENYERANG sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo menyifatkan kariernya sebagai pemain bola sepak masih belum berakhir selepas mengatasi rekod gol yang dibuat oleh Legenda Brazil, Pele di peringkat kelab dan bersama pasukan kebangsaan.

Pemain berusia 36 tahun itu meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas Cagliari pada aksi Serie A awal pagi Isnin, sekali gus merekodkan 770 gol dalam kariernya mengatasi rekod yang dibuat Pele dengan 757 gol.

Menurut Ronaldo, kisah kariernya masih belum berakhir dan dia yakin dapat memecahkan lebih banyak rekod jaringan sama ada bersama Juventus atau pasukan kebangsaan Portugal.

"Minggu lalu banyak berita dan statistik yang menyatakan saya adalah penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak mengatasi rekod 757 yang telah dicipta Pele.

"Saya berterima kasih dengan penghormatan tersebut, namun saya ingin menjelaskan mengapa saya sendiri tidak meraikan rekod tersebut sehingga saya mencetak hatrik hari ini.

"Kekaguman saya yang tiada tandingnya kepada Pele dan saya mengira rekod jumlah golnya menjadi 767 dan bukan 757 gol dengan sembilan gol ketika beliau bersama pasukan negeri Sao Paulo dan satu gol ketika bersama Pasukan Tentera Brazil sebagai gol rasminya.

"Dunia telah berubah sejak saat itu dan bola sepak juga berubah, tetapi ini tidak bererti bahawa kita dapat melupakan sejarah begitu sahaja.

"Hari ini, ketika saya mencapai 770 gol dalam karier profesional saya, kata-kata pertama dan penghargaan saya ditujukan kepada Pele. Tidak ada pemain di dunia termasuk saya yang dibesarkan tanpa mendengar cerita tentang permainan dan prestasinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, pemenang lima kali Ballon d'Or itu juga berhasrat mencetak lebih banyak sejarah dalam kariernya selain memenangi trofi bersama Juventus dan Portugal.

"Sekarang, saya tidak sabar menunggu pertandingan, rekod dan piala seterusnya. Percayalah, cerita (saya) ini masih belum berakhir. Masa depan adalah esok dan masih banyak yang harus dimenangi untuk Juventus dan Portugal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!