JTK gempur penginapan pekerja kilang
KOTA KINABALU - Mendirikan tempat penginapan dalam kawasan kilang dan tiada perakuan penginapan antara kesalahan yang dikesan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan Pekerja yang dilaksanakan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) pada Isnin.
Operasi yang bermula jam 9.30 pagi itu membabitkan dua lokasi kilang yang dijadikan tempat penginapan pekerja di kawasan KKIP.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, penguatkuasaan dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446) yang diluluskan dan berkuatkuasa 26 Februari lalu.
"Hasil operasi, beberapa penginapan tidak mematuhi keperluan minimum di bawah EO 446 dan ada majikan menempatkan pekerja di dalam kilang. Ia seolah-olah majikan tidak mempedulikan penginapan pekerja mereka," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu.
Mengulas lanjut, Isnin berkata, sejak operasi dilaksanakan pada 2 Mac lalu, sebanyak 940 penginapan membabitkan 240 majikan telah diperiksa dan seramai 9,378 pekerja yang ditempatkan di tempat penginapan.
"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 1,367 kesalahan telah dikesan dan semua kesalahan ini diberi syor dan arahan agar majikan memenuhinya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Majikan yang didapati ingkar akan dikenakan tindakan pendakwaan iaitu penalti maksimum sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM100,000 untuk setiap kesalahan," katanya.
Sementara itu, Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, sepanjang operasi dilaksanakan, didapati tiada satu pun majikan yang memohon perakuan penginapan terbabit.
"Bermula hari ini lawatan kali kedua akan dibuat dan mana-mana yang tidak patuh akan dibuka kertas siasatan dan seterusnya pendakwaan dilakukan.
"Jadi saya menyeru kepada semua majikan supaya memohon perakuan penginapan daripada JTK dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan struktur rumah yang didiami pekerja selamat atau sebaliknya. Apabila sudah diluluskan JTK akan melihat kemudahan lain yang perlu disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!