Miliki pistol tanpa lesen: Imam tidak mengaku bersalah

Tertuduh memakai baju lokap ketika tiba di pekarangan mahkamah.
Tertuduh memakai baju lokap ketika tiba di pekarangan mahkamah.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang imam yang juga pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tiga pertuduhan mencuri, memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran.

Tertuduh Sulaiman Abdul Rahman, 63, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 27 Januari lalu lebih kurang jam 11.40 pagi di Jalan Sidang Mohd Nor, Kg Sungai Pinang, Pulau Indah, Klang dalam daerah Selangor didapati sepucuk pistol Revolver .38 SPL 3" Smith & Wesson tanpa kebenaran yang sah.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, masa dan tempat yang sama, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru Winchester .38 Special, satu butir peluru .38 SPL dan satu butir peluru .38 SME tanpa suatu kebenaran sah.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kesalahan: Imam dihadapkan ke mahkamah esok

Manakala pertuduhan ketiga pada 27 Disember 2007 lebih kurang 10 malam di kaunter stor cawangan persenjataan (AMRA) Balai Polis Kuala Pilah, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan kesalahan mencuri sepucuk pistol Revolver .38 SPL 3" Smith & Wesson dan 30 butir peluru .38 milik Polis Di Raja Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dia berdepan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya , Sara Afiqah Zulkipli mencadangkan tiada jaminan diberikan bagi pertuduhan pertama kerana di bawah Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang tidak memperuntukkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam M Gobi memohon diberikan jaminan dengan mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang perlu dirujuk kepada doktor kerana menghidap sakit prostat selain tertuduh sering mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seremban.

Majistret Nariman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!