Kakitangan universiti, pelajar sekolah antara 11 ditahan terlibat pemburuan haram

Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan senjata api yang turut dirampas ketika penahanan 11 individu terbabit dalam aktiviti pemburuan haram.
Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan senjata api yang turut dirampas ketika penahanan 11 individu terbabit dalam aktiviti pemburuan haram.
A
A
A

GERIK - Empat kakitangan sebuah universiti awam di Tanjung Malim dan dua pelajar sekolah antara 11 lelaki yang ditahan selepas didapati melakukan kegiatan pemburuan haram di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Lata Kekabu, Lenggong pada Ahad.

Pemeriksaan menerusi Op Khazanah yang dijalankan sepasukan polis Cawangan Siasatan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 6.30 petang itu mendapati, kesemua mereka mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan dengan berburu dan memanah ikan serta bermalam di kawasan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, empat penjawat awam berusia antara 37 hingga 47 tahun itu masing-masing bekerja sebagai penolong jurutera dan pemandu dikesan terlibat dalam kumpulan memburu itu yang aktif sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 16 dan 13 tahun yang masih bersekolah itu pula telah mengikut bapa mereka berusia 52 tahun yang juga merupakan suspek utama kes berkenaan.

"Kita memang sudah ada maklumat tentang kegiatan kumpulan ini dan pemeriksaan dibuat ketika semua mereka keluar dari tempat pemburuan.

"Pada mulanya kita tidak nampak apa-apa senjata, namun pemeriksaan lanjut ke atas beg dibawa telah menjumpai dua senjata api berupa senapang patah double barrel buatan Itali dan single barrel tanpa jenama bersama 22 butir peluru 12 bore pelbagai jenama dipercayai digunakan bagi aktiviti terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisoner Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.

Mior Faridalathrash berkata, suspek utama kes itu didapati tidak memiliki lesen senjata api yang sah dan dia telah mengaku semua senjata api dalam milikannya adalah hak milik rakannya yang hanya dipinjam untuk memburu.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah pun mengenal pasti rakan suspek terbabit dan dia akan dipanggil untuk bantu siasatan, tindakan lanjut akan diambil termasuk membatalkan lesen senjata api yang dimiliki," katanya.

Katanya, semasa tangkapan, polis turut merampas empat laras panah ikan buatan sendiri dan tiga plastik putih mengandungi bahagian daging disyaki daging hidupan liar serta beberapa perkakas lain yang digunakan bagi aktiviti memburu.

"Lapan daripada suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini, manakala dua pelajar sekolah bersama seorang lagi berusia 18 tahun direman selama satu hari.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!