Telur tercemar: MAFI dapatkan laporan penuh
JITRA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mendapatkan laporan penuh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengenai isu telur tercemar dengan Salmonella Enteritidis (SE) dikesan di Singapura yang datangnya dari sebuah ladang ayam di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagaimanapun ladang tersebut telah dikenal pasti oleh DVS.
"Saya belum diberikan pencerahan jelas tentang isu ini (telur tercemar) tapi info awal yang saya dapat adalah hanya satu ladang yang telah diarah tarik balik oleh kerajaan Singapura.
"Saya rasa itu hanyalah jangkitan tertentu di ladang yang tertentu. Masalah ini bukannya wabak berlaku di semua ladang di seluruh Malaysia," katanya pada sidang media selepas Program Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi Bulan September dan Oktober 2020 di Pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) H-II, Jitra pada Isnin.
Beliau mengulas tentang laporan media pada Sabtu mengenai empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan dari Malaysia.
Hal tersebut berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya, rakyat di negara ini tidak perlu panik dengan perkara tersebut kerana kejadian tersebut bukan berlaku di seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Penemuan SE: Lay Hong akan beri kerjasama penuh kepada DVS
Satu ladang sahaja terbabit isu telur tercemar: DVS
Singapura tarik balik telur punca penyakit dari Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!