Kalimah ALLAH: Resolusi Pembela diteliti
PUTRAJAYA - Resolusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) berhubung kalimah ALLAH akan diteliti dalam Munaqasyah Khas bersama mufti seluruh negara pada Selasa.
Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Facebooknya pada Isnin.
"Saya ambil maklum dan akan diteliti dalam Munaqasyah Khas esok," katanya.
Zulkifli meluangkan masa selama 45 minit berkunjung ke Ibu Pejabat Pembela bagi mendengar pendapat pimpinan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berkenaan isu tersebut.
Katanya, kerajaan sentiasa melihat NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.
"Sinergi yang berkesan Insya-ALLAH akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia," katanya.
Kehadiran Zulkifli turut disambut oleh Presiden Muafakat, Ismail Mina; Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya dan Timbalannya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar serta beberapa pimpinan utama.
Melalui hantaran di laman sesawang albayan.my, Zulkifli memaklumkan terdapat pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi mengenai penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian seluruh negara dibenar menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Bagaimanapun, Hakim Nor Bee Ariffin berkata, ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!