338 konstabel lepas rindu sebelum ke Sarawak
SEPANG - Seramai 338 anggota polis yang baru selesai menjalani Latihan Asas Konstabel Percubaan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Johor, meluangkan masa singkat melepas rindu bertemu keluarga sebelum berlepas ke Sarawak.
Inisiatif itu diambil Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dengan mengumpul serta menempatkan kesemua anggota terbabit di IPD berkenaan, di sini pada Isnin.
Memetik kenyataan di Facebook rasmi IPD KLIA, majlis ringkas itu bermula pada jam 7 pagi selepas mereka tiba dari Pulapol Segamat.
"Inisiatif ini bertujuan supaya anggota tersebut meluangkan masa bertemu dengan keluarga masing-masing yang rata-ratanya berasal dari Semenanjung Malaysia.
"Biar pun dalam suasana yang pilu dan singkat, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetap diutamakan sehingga majlis selesai," katanya pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, setelah selesai, kesemua anggota tersebut kemudian dibawa ke KLIA kira-kira jam 11.30 pagi untuk berlepas dan akan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Noor Azmi Abu Hasaan; Ketua Bahagian Pengurusan IPD KLIA merangkap Pegawai Penyelaras, Asisten Superintendan Mohd Ferdaus Najib serta Ketua-Ketua Bahagian IPD KLIA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!