Tapak mengoca khas disediakan di Negeri Sembilan
KUALA PILAH - Negeri Sembilan menjadi negeri pertama mempunyai tempat khusus untuk aktiviti mengoca atau menangkap ikan sekali gus tapak ngoca bola sepak sawah.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan Ir Saari Abdullah berkata, sebanyak lapan kolam ngoca disediakan di kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 berkeluasan 5.6 ekar di Perkampungan Budaya Terachi di sini.
"Projek berkenaan yang dilaksanakan pada 19 Oktober 2020 siap sepenuhnya pada 4 Februari lalu dengan kos sebanyak RM450,002.
"Antara skop kerja yang terlibat adalah pembinaan lapan buah kolam ngoca bersaiz dalam 55mx25m, dataran, membina tali air baru, memasang struktur pintu dan kawalan air," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaik Taraf Tapak Pesta Ngoca di Skim Pengairan Terachi Batu 17, di Perkampungan Budaya Terachi di sini, pada Isnin.
Menurutnya, projek berkenaan diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri tersebut.
Saari berkata, sebelum ini aktiviti mengoca diadakan di lokasi yang dirasakan bersesuaian, namun melihat kepada sambutannya kerajaan negeri telah bersetuju menjadikan tapak di Perkampungan Budaya Terachi itu sebagai tapak khas.
"Malah tapak ini juga akan menjadi tapak ngoca bola sepak sawah pertama yang di negara ini dan menjadi hasrat kerajaan negeri untuk jadikannya sebagai aktiviti sukan rakyat utama di Negeri Sembilan.
"Dengan adanya tapak mengoca ini diharap menjadi salah satu tarikan atau simbolik pelancongan untuk program sukan rakyat warisan negeri," katanya.
Sementara itu Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya akan menjadikan aktiviti mengoca sebagai acara tahunan wajib dalam kalendar pelancongan di Negeri Sembilan.
Katanya, jika pandemik Covid-19 beransur pulih, acara itu di rancang diadakan pada September ini selepas kali pertama dianjurkan pada tahun 2019.
"Tarikannya ialah mengoca itu sendiri dan ia adalah antara kesenian dan kebudayaan di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kawasan Perkampungan Budaya Terachi itu juga akan dibangunkan semula untuk dijadikan sebagai pusat sehenti produk pelancongan di negeri ini.
"Di sini nanti bukan saja ada tapak ngoca dan restoran. Tapi kita akan sediakan 10 ke 12 unit kedai yang menempatkan usahawan industri kecil sederhana(IKS) yang menjual produk dari Negeri Sembilan,"katanya.
Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!