Ketumpulan penyudah punca Bos Gaurus tumbang di Ipoh
KETUMPULAN jentera serangan dalam menyudahkan peluang terhidang untuk menghasilkan jaringan, merupakan faktor yang menyebabkan Perak FC kecundang di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC pada Ahad.
Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt berkata, keputusan tersebut mungkin berubah sekiranya barisan serangan berjaya menterjemahkan jaringan melalui beberapa peluang yang dicipta sepanjang 90 minit permainan.
“Saya akui sedikit kecewa. Walaupun pada babak pertama, permainan kita agak kurang tersusun dan itu antara sebab pihak lawan dapat menjaringkan gol.
“Di babak kedua, permainan kita berubah dan beberapa peluang kita dapat tetapi nasib tidak menyebelahi kita untuk jaringan gol dihasilkan,” katanya ketika sesi sidang media sejurus selesai perlawanan di Stadium Perak pada Ahad.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Bos Gaurus tumpas 0-2 kepada Terengganu FC melalui jaringan yang dihasilkan oleh Mohd Faisal Abdul Halim pada minit ke-24 dan Dechi Marcel (minit ke-90).
Yee Fatt berkata, beliau berjanji pasukannya akan bangkit dan kembali mencatatkan keputusan positif dalam aksi menentang Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras pada 17 Mac ini.
“Kita perlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dan saya fikir akan ada penambahbaikan pelbagai sudut, untuk pastikan kita tidak lagi keciciran mata dalam perlawanan itu,” katanya.
Sementara itu, pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain berkata, semangat juang serta disiplin tinggi dipamerkan oleh anak buahnya, menjadi kunci kepada kejayaan mengutip tiga mata penuh.
Katanya, meskipun mengakui para pemain sedikit keletihan disebabkan jadual perlawanan yang agak padat, namun setiap pemain kekal fokus dalam merencana serangan dan juga bertahan.
“Namun, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama daripada aspek kesilapan kita sendiri, yang kadang-kadang terlampau mudah untuk berikan gol pada pihak lawan. Saya berharap perkara ini akan dapat kita atasi,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!