Perbicaraan Suu Kyi ditangguh 24 Mac depan

Maung Zaw ketika menjawab soalan petugas media ketika beliau meninggalkan mahkamah di bandar Zabuthiri di Naypyidaw pada Isnin. - Foto AFP
Maung Zaw ketika menjawab soalan petugas media ketika beliau meninggalkan mahkamah di bandar Zabuthiri di Naypyidaw pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Sebuah mahkamah menangguhkan perbicaraan secara maya, Aung San Suu Kyi yang dijadualkan pada 24 Mac depan atas alasan berdepan masalah internet.

Peguamnya, Khin Maung Zaw menerusi mesej video berkata, pihak berkuasa memaklumkan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu juga hanya dibenarkan diwakili oleh dua peguam junior.

Maung Zaw mendakwa beliau tidak dibenarkan bertemu Suu Kyi, 75, yang ditahan sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu walaupun pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) itu dikatakan berada dalam keadaan baik.

Sebelum ini, Suu Kyi berdepan empat pertuduhan; memiliki walkie-talkie tidak berlesen, melanggar peraturan Covid-19, melanggar undang-undang telekomunikasi dan berniat untuk mencetuskan rusuhan awam.

Pemerintah junta tentera turut mendakwa beliau menerima wang haram berjumlah AS$600,000 (RM2.5 juta) dan 11 kilogram emas yang didakwa sebagai tuduhan tidak berasas oleh peguamnya.

Dalam perkembangan lain, undang-undang tentera dilaksanakan di enam bandar termasuk Dagon Seikkan, Hlaing Thar Yar dan Shwepyitha selepas sekurang-kurangnya 44 penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran pada Ahad sekali gus menjadikan jumlah korban mencecah lebih 120 orang. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!