Ibu sedang berpantang terkejut anak mati lemas

A
A
A

TEMERLOH - Ibu kepada kanak-kanak lemas, Nor Fariza Mat Rudin, 30 mengakui masih terkejut dengan tragedi yang menimpa anak lelakinya, Mohd Naufal Mohd Azrul yang berusia 8 tahun.

Nor Fariza berkata, dia sedang berpantang 12 hari selepas melahirkan anak kembar lelaki dan berada di hospital kerana kedua-dua bayinya itu mengalami demam kuning.

"Kali terakhir saya berjumpa Mohd Naufal empat hari lalu kerana berada di hospital.

"Anak saya seorang yang manja dan sangat rapat dengan bapa saudaranya," katanya.

Menurut Nor Fariza, dia terus bergegas keluar dari hospital sebaik mengetahui insiden yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu.

Mohd Naufal ditemui lemas ketika mandi bersama bapa saudaranya, Mohd Hakim Faqih Nor Azmi,16, di Sungai Pahang dekat Kampung Loyang Sanggang, pada petang Ahad. Namun sehingga kini, Mohd Hakim masih belum ditemui dan usaha menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, datuk kepada mangsa, Nor Azmi Ibrahim, 55, memberitahu cucunya itu bersungguh-sungguh mahu mandi sungai.

"Cucu saya bersungguh-sungguh mengajak bapa saudaranya untuk mandi di sungai itu semalam," katanya yang berharap agar anaknya, Mohd Hakim juga segera ditemui.

Nor Azmi memberitahu, anak bongsu daripada lima beradik itu sebenarnya sudah bersedia untuk latihan bola sepak bersama rakan-rakannya pada hari kejadian.

Menurut Nor Azmi, anaknya yang mesra dengan panggilan Adik memberitahunya untuk keluar menemani anak saudara, Mohammad Naufal dan rakan lain ke sungai tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Semalam dia bersungguh-sungguh mengajak kami makan beramai-ramai," katanya pada Sinar Harian, Isnin.

Ujar Nor Azmi lagi, anaknya seorang yang baik, ceria, suka tersenyum dan rapat dengan anak-anak saudara termasuk Mohd Naufal.

"Saya bersyukur kerana mayat cucu telah ditemui dan berharap anak juga dapat ditemukan segera. Saya reda dengan ujian ALLAH kepada kami sekeluarga," katanya lagi Mohd Hakim seorang yang aktif bersukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!