‘Saya marah sampai sekarang’
SHAH ALAM - Peristiwa diperas ugut oleh anggota beruniform 43 tahun lalu meninggalkan kesan mendalam buat Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub tentang budaya rasuah.
Beliau berkata, peristiwa itu amat dikesali apatah lagi bila melihat budaya rasuah hari ini sudah semakin parah dan menjadi penyakit dalam masyarakat.
Katanya, lebih memberi kesan apabila beliau terpaksa berdepan dengan budaya rasuah dalam kalangan guru sekolah ketika mahu memasarkan buku-buku terbitan syarikat ke sekolah satu masa dahulu.
“Pada tahun 1978, saya bersama rakan kongsi membawa van dari Petaling Jaya ke Bangsar dan kami ditahan kerana melanggar lampu isyarat.
“Anggota itu memberi pilihan sama ada mahu disaman atau ‘selesai’ di situ. Dia tanya saya ada berapa (duit), saya jawab ada RM12, dan dia ambil RM5 daripada saya. Saya kesal dan marah sehingga sekarang.
“Satu lagi peristiwa ketika kami mula berniaga buku sekolah. Dalam tempoh beberapa tahun, persaingan semakin kuat dan penerbit lain mula membayar (rasuah). Apabila guru sudah minta duit, saya buat keputusan untuk hentikan penerbitan buku sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bersama Mr Rasuah Buster dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan menerusi portal dan Facebook Sinar Harian pada Isnin.
Petunjuk
Ditanya mengapa baru sekarang Rasuah Busters digerakkan, Hussamuddin berkata, pandemik Covid-19 menjadi masa terbaik untuk masyarakat faham dan memulakan gerakan secara bersama.
“Jika tidak terkurung, masyarakat tidak sedar sebenarnya mereka berdepan kesusahan sehingga ada yang berlapar.
“Jadi kalaulah negara ini diurus dengan baik, tak ada rasuah, harta kekayaan negara dibahagi dengan seadilnya, tak akan ada yang berlapar,” kata beliau.Beliau turut menjelaskan usaha gerakan menolak rasuah ini bukan semata-mata menuding jari kepada orang politik sebaliknya memutuskan rantaian dalam masyarakat sendiri selaku ‘ikan bilis’.
“Teori saya adalah orang kata kita sibuk dengan jerung. Jerung boleh jadi besar kenapa? Kerana ikan kembung makan bilis, kembung dimakan cencaru, cencaru dimakan tenggiri, sampai jadi jerung.
“Jadi, gerakan kita ini bukan hendak tangkap orang politik, tapi nak tangkap perbuatan rasuah dalam hati kita.
“Untuk putuskan rantaian itu bermula daripada kita. Jangan salahkan orang lain sedangkan kita yang mulakan rasuah. Keadaan ini ada di setiap kampung, pejabat dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Pemimpin
Dalam masa sama, Hussamuddin yang juga pengasas #QuranHour berkata, beliau yakin sekiranya setiap anggota masyarakat kembali kepada sistem kehidupan masing-masing iaitu ajaran agama mereka, ia mampu menghindar budaya rasuah, seterusnya ‘membersihkan’ masyarakat.
“Bila janji tak ditepati, bila kita ambil hak orang, kita tak rasa bersalah. Jadi saya rasa kita ada masalah dengan cara kita beragama.
“Maknanya pemimpin agama kena lihat bagaimana agama itu disampaikan kepada jiwa anak-anak, kepada ummah. Maknanya ia mungkin tak sampai.
“Orang kampung yang hendak memilih ketua cawangan (perlu) pilih orang yang betul-betul ada nilai (moral) bukan sesiapa yang boleh beri sesuatu pada dia. Jika ini berlaku insya-ALLAH dalam dua pilihan raya lagi kita dapat lahirkan pemimpin seperti itu,” katanya.
Turut disentuh ialah perkembangan mutakhir ekonomi dan politik negara yang semakin bercelaru sehingga wujud tawar-menawar dan membuatkan gerakan Rasuah Busters wajar diwujudkan.
“Apa yang kita buat ini adalah menolong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dengan kempen yang kita buat secara besar-besaran ini, yang bilis-bilis ini berhenti dan SPRM boleh fokus pada yang jerung-jerung,” katanya.
Hussamuddin berkata, sudah tiba masanya golongan majoriti senyap yang selama ini membiarkan golongan minoriti lantang menentukan hala tuju negara, bangkit menyelamatkan Malaysia.
“Kita telah pilih pemimpin yang tiada integriti, bermoral rendah, kerana mereka naik melalui sistem yang tidak bermoral juga.
“Kalau ideologi saya, orang yang mata satu, nak orang yang mata dua jadi pemimpin dia. Tetapi kita ini membiarkan diri kita buta. Dia akan bawa kita ke jalan yang ikut suka dia,” katanya.
Peranan ibu bantu beri kesedaran kepada anak
Kempen Rasuah Busters mengambil pendekatan menggunakan slogan ‘Mak Kata Jangan’ dengan mengharapkan penglibatan setiap ibu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bermula daripada keluarga sendiri.Justeru, Hussamuddin berkata, golongan wanita boleh memainkan peranan sebagai ibu seawal usia anak dalam kandungan lagi dengan sentiasa berpesan agar anak yang bakal dilahirkan menjadi insan bertanggungjawab dan tidak terlibat rasuah.
“Mak-mak perlu bercerita serta nyanyikan berulang-ulang agar jangan ambil rasuah kerana ia haram.
“Ibu-ibu boleh bicara dari hati ke hati dengan anak masing-masing yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung, dan berharap dengan rayuan seorang ibu dapat memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.
Jelasnya, pendekatan itu juga mampu menyedarkan individu yang sudah terlibat dengan rasuah agar tidak meneruskan agenda mereka untuk terus berkuasa.
“Apabila mereka sedar, kita berharap akan lahir rasa bersalah. Dengan sendirinya mereka berundur dan beri peluang kepada pemimpin yang belum rosak.
“Dulu pun mereka tak rosak, tapi kita (masyarakat) yang membiarkan mereka rosak,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Hussamuddin melancarkan kempen Rasuah Busters atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!