Bukan salah Nabila Razali
ISU penyanyi muda, Nabila Razali ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menjadi perbualan hangat.
Tetapi sebenarnya, nyanyian tersebut tidaklah seteruk seperti yang digambarkan dalam media sosial.
Menurut sahabat Merak Jalanan yang tahu serba sedikit tentang muzik dan sistem audio, kualiti bunyi di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu kedengaran sangat teruk dan tidak memuaskan.
Katanya, terdapat kemungkinan penyanyi yang kini berusia 29 tahun itu gagal membawakan lagu tersebut dengan baik gara-gara kesilapan tersebut.
Walaupun, kejadian ‘terkucil’ itu bukan kali pertama berlaku kepada dirinya namun Nabila Razali telah membuat latihan selama berbulan-bulan memperbaiki mutu nyanyian untuk bertarung di pentas akhir juara lagu itu. Bagaimanapun, sebelum ini dia nekad menarik diri dan berehat daripada bidang nyanyian selepas menghadapi masalah kotak suara pada 20 November lalu namun sebaliknya dia tetap meneruskan cabaran.
Untuk itu pujian harus diberikan kepadanya kerana terus berjuang untuk membawakan lagu yang telah menjulang namanya itu sehingga habis walaupun pada riak wajahnya jelas terpancar kekecewaan dan rasa sedih.
Nabila Razali pernah mendapat tempat kelima dalam program Akademi Fantasia musim ke-10 pada 2013. Ini membuktikan bahawa dia boleh menyanyi.
Peluang Kedua ialah lagu yang dirakamkan dan dipersembahkan Nabila Razali, dikeluarkan sebagai single kelimanya pada 16 April 2020.
Lagu ciptaan Hael Husaini itu juga menjadi lagu tema drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang turut dibintangi Nabila Razali.
Sementara itu, muzik video lagu itu bersama dengan MK K-Clique sudah mencatat 29 juta tontonan di YouTube.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!