Keputusan FAM isu kesilapan pengadil tepat: Subkhiddin
KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan terhadap pengadil yang melakukan kesilapan dalam perlawanan LIga Malaysia (Liga-M) sehingga mencetuskan kontroversi dianggap sebagai satu keputusan tepat.
Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, keputusan yang dibuat FAM itu harus diambil positif oleh semua pihak dan menjadi satu pengajaran kepada pengadil pada masa akan datang.
"Setiap pengadil jangan salah faham. Tindakan yang diambil itu untuk memperbaiki dan sebagai satu bentuk pembelajaran dan bukan hukuman untuk membunuh karier mereka.
"Tindakan FAM ini untuk menambah baik prestasi mereka pada masa hadapan. Bagi saya ia satu tindakan wajar tidak kira sama ada pengadil itu profesional atau pengadil amatur. Semua dilayan sama rata.
"Kalau kita nak maju, kita kena telus dan terima tindakan ini dengan terbuka supaya pengadil itu lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam menjalankan tugas," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan memaklumkan pengadil dalam aksi Liga Super antara Melaka United FC dan PJ City FC pada 10 Mac, Mohd Fairuzi Mat Desa dikenakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta.
Beliau juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas.
Pengadil perlawanan Liga Premier antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin turut tidak terlepas daripada tindakan FAM apabila perlu menjalani program penambahbaikan prestasi.
Dalam pada itu, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berharap mana-mana pihak tidak menyalahkan pengadil semata-mata jika berlaku insiden kontroversi dalam perlawanan.
"Kena ingat dalam bola sepak moden ini bukan semua kesalahan yang dilakukan pemain itu akan nampak dengan jelas. Kadang-kadang ada situasi yang agak sukar untuk dibuat penilaian.
"Jangan selepas ini kalau pengadil buat silap terus hukum. Tak boleh macam itu, sebaliknya bergantung kepada tahap kesalahan dan bukti yang ada. Tetapi dalam kes Beto (Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri) ini memang sangat jelas ia adalah simulasi. Jadi, ia cabaran utama untuk pengadil," jelasnya.
Pada masa sama, bekas pengadil FIFA itu turut mengingatkan pemain supaya bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengelakkan sebarang masalah di atas padang.
"Sebagai pemain mereka juga kena bermain fair play. Kalau pemain pun tak amalkan permainan yang bersih dan berharap kepada pengadil sahaja, maka mutu bola sepak kita tak kemana.
"Simulasi ini kat mana-mana pun orang benci. Tanamkanlah sifat untuk bermain dengan adil tidak menyalahkan orang dan fokus dengan perlawanan. Tidak adil juga untuk bercakap soal pengadil sahaja, tetapi pemain itu sendiri perlu matang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!