Rakyat gelisah kompaun RM10,000
SHAH ALAM - Selepas lima hari kompaun RM10,000 dikuatkuasakan, rata-rata rakyat Malaysia melahirkan kegelisahan apabila menyifatkan pelaksanaan saman akibat kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 itu sebagai keterlaluan, tidak masuk akal dan mengelirukan.
Apatah lagi, tindakan saman yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti kompaun ke atas individu yang meletakkan pelitup muka di dagu dilihat sangat tidak sepadan dengan denda RM10,000.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan, saman RM10,000 ke atas rakyat yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil agak melampau.
“Apa-apa peraturan yang mahu dilaksanakan perlu melihat kepada keadaan dan kemanusiaan, tengok keadaan pada kesalahan yang dilakukan dan jangan sampai rakyat hilang keyakinan pada kerajaan.
“Sebelum ini, mahu bayar kompaun RM1,000 pun ada rakyat yang tidak mampu sehingga rayu sumbangan selain ada yang terpaksa dipenjarakan 30 hari. Cuba bayangkan nak bayar RM10,000. Kalau kesalahan kali ketiga itu munasabahlah juga, ini baru sekali kasihanlah pada mereka,” kata beliau.
Pandangan yang sama turut diketengahkan pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.
Menurutnya pihak berkuasa perlu gunakan budi bicara dan mengambil kira keadaan semasa.“Penguatkuasaan memang perlu tegas, namun dalam situasi yang menggunakan budi bicara sepatutnya, jumlah kompaun tak perlu terus dengan amaun RM10,000.“Sekarang kalau keluar kompaun terus RM10,000 pihak yang disaman perlu membuat rayuan, maka kemudian baru ia akan dikurangkan dan ia menimbulkan resah dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya lagi, pematuhan SOP seperti itu juga jika benar-benar hendak dijalankan, maka tidak boleh diamalkan secara ‘double standard’ (dua darjat).
“Ini merupakan satu perkara yang melibatkan undang-undang dan ia perlu dijalankan secara adil kepada semua pihak. Sepatutnya semua perjumpaan perlu patuh pada SOP yang ditetapkan.
“Jangan jadikan alasan politik dan kuasa untuk menutup mata penguatkuasaan undang-undang,” katanya mengulas mengenai program-program keramaian kerajaan dan politik yang boleh diadakan tanpa dikompaun RM10,000.
Pelbagai pihak turut mempertikaikan konvensyen DAP di Ipoh, yang bukan sahaja disertai lebih 1,500 perwakilan, bahkan menyaksikan kekecohan apabila ada peserta yang bertolak-tolak tanpa memakai pelitup muka.
Sebuah lagi program melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin turut dikritik ramai kerana menganjurkan aktiviti berbasikal beramai-ramai di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Sementara itu bagi Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, orang yang berfikiran betul akan bersetuju dengan pepatah bahawa hukuman ‘mesti selalu sesuai dengan jenayah’ maka keparahan jenayah harus menentukan hukumannya.
“Sekiranya keparahan meningkat, begitu juga hukuman yang ditetapkan. Sebelum ini, hukuman kerana melanggar SOP ialah RM1,000.
“Oleh kerana ramai yang tidak ikut SOP dan kes semakin meningkat sepanjang tahun lalu, maka adalah satu tindakan yang masuk akal untuk menaikkan denda, namun tidaklah drastik daripada RM1,000 menjadi RM10,000.
“Hukuman itu terlalu berat dan merungsingkan rakyat, tidak logik dan tidak sesuai dengan jenayah.
“Mungkin mereka yang melakukan kesalahan itu sebenarnya cuai atau terlupa semata-mata. Maka, dalam kes seperti ini, sedikit kelonggaran harus dilakukan oleh penegak undang-undang agar tidak membebankan masyarakat,” katanya.Di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.
1,377 orang sudah disaman RM10,000
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, seramai 1,377 individu telah dikenakan tindakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) setakat Ahad.
“Seramai 1,377 individu dikenakan kompaun setakat semalam,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai jumlah terkini individu yang dikenakan kompaun setakat ini.
Sebelum ini, Abdul Hamid menjelaskan kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac lalu hanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak.
“Kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.
“Individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM), mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 selepas rayuan dan alasan yang diberikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!