SAM bantah kerajaan lulus ladang hutan

Meor Razak
Meor Razak
A
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah tindakan Pihak Berkuasa Negeri meluluskan projek pembangunan ladang hutan di Perak termasuk di Hutan Simpan (HS) Kledang Saiong dan HS Bukit Kinta dalam daerah Kinta.

Penyelidik Lapangannya, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, dasar berhubung penggalakan melaksana pembangunan ladang hutan atau ladang monokultur dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu dimansuhkan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan oleh SAM sebelum ini, kebanyakan kawasan pembangunan ladang monokultur tidak mematuhi kriteria-kriteria penubuhan ladang monokultur sebagaimana yang dilakukan di Kelantan.

"Kebiasaannya, justifikasi dan alasan utama pihak berkuasa negeri meluluskan sesuatu projek pembangunan ladang monokultur kerana kawasan yang dikenalpasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot.

"Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan oleh faktor semula jadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia terutama kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan kelemahan pihak berkuasa yang gagal melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan itu.

Meor Razak berkata, penukaran guna-tanah hutan di sesuatu kawasan HSK kepada ladang monokultur,menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Katanya, ia turut memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum sesuatu pembangunan ladang monokultur dalam HSK dilaksanakan, litupan hutan asal (hutan asli) akan diusahasil secara tebang habis.

"Pengusahasilan secara tebang habis tidak tertakluk kepada pengurusan hutan lestari bagi tujuan piawaian dan pensijilan hutan serta Catuan Tebangan Tahunan (CTT)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Meor Razak berkata, program pembangunan ladang monokultur dicadangkan dilaksana di kawasan tanah kerajaan dan tanah milik terbiar.

Katanya, SAM berharap pihak berkuasa negeri dapat mempertimbangkan keputusan untuk membatalkan kelulusan program pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK yang masih belum dilaksana dan yang masih dirancang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!