Terima sogokan: Tiga pegawai JPJ, dua proksi direman
IPOH - Tiga pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman enam hari berkaitan siasatan kes menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan.
Turut direman adalah dua orang awam yang berperanan sebagai proksi yang disyaki terlibat dalam kes itu.
Suspek berusia antara 31 hingga 46 tahun sebelum itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Ipoh di sini jam 10.30 pagi pada Selasa dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bergari.
Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab membenarkan permohonan reman oleh SPRM Perak.
Mereka direman sehingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, SPRM dalam kenyataannya berkata, lapan pegawai dan anggota JPJ negeri Perak, Pahang dan Pulau Pinang ditahan bersama empat proksi pada Isnin.
Menurutnya, suspek ditahan kerana disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Aduan bagi kes itu dibuka untuk siasatan di bawah kesalahan Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
"Hasil siasatan tindakan reman bagi seorang proksi telah dijalankan semalam (Isnin), manakala tiga penguat kuasa JPJ dan dua proksi lagi direman hari ini (Selasa)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!