20 minit tersepit celah kayu balak
KLUANG - Seorang pekerja kilang kayu berdepan detik cemas apabila tersepit dan terperangkap selama kira-kira 20 minit semasa memeriksa longgokan kayu balak di Batu 5, Jalan Mersing-Kluang dekat sini pada Isnin.
Dalam kejadian pada jam 6.30 petang, Rashidi Sardi, 41, melakukan pemeriksaan di celah kayu balak itu sebelum tiba-tiba longgokan tersebut bergerak sedikit.
Keadaan itu membuatkannya tidak dapat keluar dari celah kayu balak sebelum pihak pengurusan kilang menghubungi bomba untuk bantuan.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang dengan sebuah Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Penguasa Bomba Kanan II Azmi Mohd Bani berkata, pihaknya terpaksa berhati-hati semasa mengeluarkan mangsa kerana bimbang longgokan kayu balak tersebut bergerak dan mengakibatkan kemalangan.
"Bomba menggunakan rescue tools bagi mengalihkan kayu balak dan mengeluarkan mangsa. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa didapati cedera di bahagian lutut. Operasi tamat jam 7.07 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!