Wanita hamil dijel setahun pecah amanah RM20,864

Tertuduh (dua dari kiri) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
Tertuduh (dua dari kiri) dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita hamil tiga bulan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah wang pelanggan majikannya berjumlah RM20,864 dua tahun lalu.

Tertuduh, Zulkarma Zon, 37 yang merupakan bekas kerani firma guaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Nooriah dalam penghakimannya berkata, walaupun tertuduh hamil dan mempunyai empat lagi anak, dia tetap perlu berdepan peruntukan undang-undang atas kesalahan yang dilakukannya.

"Pengakuan salah kamu banyak menjimatkan masa dan menunjukkan keinsafan, namun mahkamah juga mengambil perhatian kesalahan yang dilakukan itu kerana kamu berada dalam kedudukan orang yang diberi kepercayaan penuh.

"Kamu menunjukkan ciri-ciri pekerja komited tetapi kamu menyalahgunakan kedudukan hingga menyebabkan kerugian kepada majikan," katanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 12 bulan terhadap ibu kepada empat anak yang kini hamil tiga bulan itu berkuatkuasa bermula tarikh sabitan kes pada Selasa.

Terdahulu, Zulkarma yang berbaju biru dan bertudung hitam dilihat tidak putus berzikir daripada kandang tertuduh sepanjang 30 minit prosiding ke atasnya berjalan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan untuk mengendalikan dokumentasi jual beli hartanah pelanggan di firma guaman itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengutip wang pelanggan tanpa pengetahuan dan kebenaran majikannya berjumlah RM20,864.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di firma guaman Tetuan Fariz Halim & Co di Taman Teratai off Jalan Sultan Omar di sini, bermula Julai hingga Ogos 2019.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Amir Che Musa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!