Jambatan besi usang ancam nyawa penduduk
KUALA SELANGOR - Lebih 100 penduduk terpaksa bergadai nyawa setiap kali melalui jambatan besi usang di Jalan Abd Aziz, Ijok di sini.
Jambatan yang dibina sejak 30 tahun lalu itu menjadi laluan alternatif penduduk dari Ijok ke Parit Mahang terutama mereka yang berulang-alik membawa hasil pertanian.
Seorang penduduk, Mohamad Tuhid Esnadi, 69, berkata, jambatan itu terlalu usang dan mengundang bahaya untuk dilalui semua jenis kenderaan.
"Bahagian jambatan ini sudah lekang dan lantai turut reput apabila dilihat dari bahagian bawah jambatan.
"Strukturnya tidak lagi kukuh, manakala tiang rasuknya sudah lekang daripada kedudukan asal selain ketiadaan penghadang kiri dan kanan jambatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, jambatan sepanjang kira-kira 80 meter merentangi Sungai Buloh itu lebih dekat berbanding jalan utama.
"Pengguna yang melalui laluan ini dapat menjimatkan masa sehingga 20 minit berbanding menggunakan laluan utama," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zulhelmy Baharuddin, 28, berkata, jambatan itu memerlukan penyelenggaraan segera kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
Katanya, ketiadaan lampu jalan di laluan tersebut juga menyebabkan risiko kepada pengguna jalan raya pada waktu malam.
"Saya berharap agar jambatan baharu dapat dibina atau sekurang-kurangnya dibaik pulih bagi kemudahan dan keselamatan kami," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan susulan akan diambil terhadap aduan berkenaan.
"Kita sudah mendengar aduan berhubung jambatan besi usang di Ijok yang merupakan sempadan antara Ijok dan Kampung Parit Mahang.
"Aduan ini akan dibawa kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!