Penganggur dipenjara enam bulan, ugut pukul ibu kandung
KUALA LUMPUR - Akibat mengugut untuk memukul ibu kandung menggunakan sebatang besi dan topi keledar, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Gobinathan, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 5 Januari lepas.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menggunakan sebatang besi panjang dan topi keledar ke atas A.Saraswathy ,47, yang bekerja sebagai tukang cuci, di Jinjang Selatan Tambahan, Sentul di sini pada 2.30 pagi, 5 Januari lepas .
Gobinathan dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum tujuh tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!