PM Thailand, 15 ahli Kabinet terima suntikan vaksin AstraZeneca
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha dan 15 anggota kabinetnya hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Oxford-AstraZeneca, dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin itu.
"Saya mahu tingkatkan keyakinan masyarakat...Vaksin Oxford-AstraZeneca selamat," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan sebelum menerima suntikan.
Prayuth berkata, tiada bukti vaksin itu boleh menyebabkan darah beku seperti dilaporkan, jadi Thailand akan mula melaksanakan vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan.
Pakar Virologi dari Universiti Chulalongkorn di Bangkok Profesor Dr Yong Poovorawan memberikan suntikan vaksin kepada Prayuth.
Dr Yong memberi jaminan kedua-dua vaksin Covid-19 yang terdapat di Thailand - Oxford-AstraZeneca dan Sinovac China adalah selamat.
"Vaksin mungkin tidak memberikan perlindungan 100 peratus tetapi dapat mengurangkan jangkitan menjadi lebih teruk dan menyelamatkan nyawa," katanya.
Jumaat lalu, Thailand mengikuti langkah beberapa negara Eropah termasuk Denmark, Norway dan Iceland menangguhkan penggunaan Oxford-AstraZeneca.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) pada minggu lalu berkata mengatakan tiada bukti vaksin Oxford-AstraZeneca menyebabkan darah beku.
Thailand telah memulakan kempen vaksinasi menggunakan vaksin Sinovac pada pekerja kesihatan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi pada 28 Februari.
Vaksinasi besar-besaran akan bermula selepas vaksin Oxford-AstraZeneca dihasilkan firma tempatan Siam Bioscience Co Ltd pada Jun.
Bangkok telah mengimport 117,000 dos vaksin. Sejumlah 200,000 dos vaksin Sinovac dengan tambahan 800,000 dos vaksin dijadualkan tiba akhir bulan ini dan sejuta dos lagi pada April.
Thailand menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!