Pemandu jengkaut didakwa bunuh isteri, miliki senjata api
KOTA TINGGI - Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh isterinya dan empat pertuduhan kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen.
Tertuduh, Mohd Hanafi Patarur Rahim, 42, kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rashidah Baharom, namun tiada pengakuan direkodkan mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Saujana di sini pada jam 3.30 pagi pada 1 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Johor, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 April depan bagi sebutan semula untuk penyerahan laporan kimia, laporan forensik dan bedah siasat.
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tembak isteri tiba di mahkamah
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Mohd Hanafi dijatuhi hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen.
Bagaimanapun, Hakim Zahilah Mohammad Yusof mengarahkan hukuman ke atas tertuduh dijalankan secara serentak bermula tarikh tangkapan pada 1 Mac lalu di mana hukuman penjara adalah selama enam tahun.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa memiliki selaras senapang tiada jenama dan model tanpa lesen yang sah serta memiliki 14 butir peluru di sebuah rumah di Ladang Pasir Panjang pada jam 9.00 malam pada 1 Mac lalu.
Manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh didakwa memiliki selaras senapang jenis Canon Super Model 737 CAL 177 tanpa lesen yang sah serta memiliki 50 butir peluru di sebuah rumah di Taman Saujana pada jam 11.30 pagi pada 1 Mac lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (206) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala rakan suspek yang berusia 32 tahun dibebaskan dengan bon mahkamah.
Pada 5 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan kehilangan seorang wanita berumur 38 tahun yang tidak pulang ke rumahnya di Taman Saujana Kota Tinggi sejak 1 Mac lalu terjawab dengan penemuan mayat mangsa di dalam tong air biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar.
Lebih menyayat hati, ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun itu dipercayai ditembak mati ketika sedang tidur oleh suaminya menggunakan senapang angin.
Susulan daripada laporan kehilangan wanita berkenaan yang dibuat oleh jirannya, suami wanita terbabit yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan rakannya berumur 32 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Angkara cemburu, suami tembak mati isteri
Reman suami tembak isteri disambung enam hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!