Jerebu kuning landa Beijing didakwa seperti hari kiamat
BEIJING - Bandar raya Beijing dilanda jerebu berwarna kuning iaitu campuran asap dan kabut pada hari Isnin dengan pencemaran alam sekitar meningkat ke paras berbahaya disebabkan ribut yang bergerak ke arah ibu kota China itu.
Penduduk di bandar raya itu memakai gogal, pelitup muka dan pelindung rambut bagi melindungi diri dengan Kota Larangan dan ibu pejabat stesen penyiaran negara itu, CCTV turut dilanda pencemaran alam tersebut.
Pentadbiran di bandar raya itu mengarahkan semua sekolah membatalkan aktiviti di luar kelas dan menasihatkan rakyatnya yang mempunyai masalah pernafasan supaya tinggal di rumah masing-masing.
Kualiti udara yang teruk itu disebabkan oleh ribut pasir yang datang dari Mongolia, utara China dibawa ke selatan negara tersebut oleh angin dan mengehadkan pemandangan di Beijing pada jarak kurang 1,000 meter, lapor media kerajaan.
Pentadbiran Meteorologi China dilaporkan berkata, ribut pasir itu disebarkan dari Inner Mongolia ke wilayah Gansu, Shanxi dan Hebei yang terletak di sekitar Beijing.
Kejadian jerebu kuning itu turut dibincangkan di laman sesawang Weibo.
Lebih 54 juta pengunjung di laman itu melihat gambar-gambar Beijing dilanda jerebu tersebut dengan sebahagian mereka menyatakan ia seolah-olah seperti dalam adegan filem fiksyen sains, Interstellar.
"Ribut pasir warna kuning ini kelihatan seolah-olah seperti dunia sudah berakhir," kata seorang pengguna Weibo seperti dilaporkan oleh AFP.
Pencemaran di bandar raya itu berada pada peringkat berbahaya, menurut laman pemantau kualiti udara, Aqicn. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!