'Manfaatkan ruang, sampaikan permasalahan ikut saluran'

Muhyiddin (belakang, kiri) dan Noraini (belakang, kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.
Muhyiddin (belakang, kiri) dan Noraini (belakang, kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli-ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) diingatkan untuk memanfaatkan ruang dan kebebasan yang diberikan kerajaan bagi menyampaikan segala permasalahan atau isu mereka dengan sebaik mungkin mengikut saluran yang betul.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu wajar disantuni dan perlulah disulami tanggungjawab untuk meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional selain bersandarkan kepada kesopanan dan kesusilaan.

Muhyiddin ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.
Muhyiddin ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.

"Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh daripada desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat eksklusif mahasiswa tidak disalahgunakan.

“Effective leadership is putting first things first. Effective management is discipline, carrying it out," katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Perdana MPPK Tahun 2021 secara dalam talian pada Selasa.

Tambah beliau, ahli-ahli MPPK merupakan suara kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta bakal pemimpin masa hadapan, maka perkara itu perlu diberi perhatian.

Hadir sama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Selain itu Muhyiddin berkata, sesi mesyuarat MPPK pada kali ini juga adalah satu medium yang signifikan untuk menyangkal dakwaan mengatakan pelajar-pelajar IPT yang sinonim dengan istilah 'darah muda' dan sentiasa membuat keputusan terburu-buru.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu katanya, mesyuarat kali ini boleh menjadi medan atau acuan yang akan membentuk pemimpin pelajar dalam membuat keputusan secara matang di samping membina keperibadian unggul.

Tegasnya, platform seumpama MPPK ini juga adalah sangat signifikan bagi membentuk legasi kepimpinan dalam kalangan pelajar seterusnya melahirkan pemimpin pelajar IPT yang berkualiti, berfikiran kritis dan idealis kerana mereka merupakan aset dan modal insan negara yang paling berharga.

Muhyiddin berkata, beliau berharap Mesyuarat Perdana MPPK pada tahun ini akan meneruskan tradisi mesyuarat-mesyuarat terdahulu dan mampu membentangkan hasrat-hasrat yang berupaya meningkatkan kesejahteraan pelajar IPT dan masyarakat secara keseluruhannya.

"Manfaatkan platform ini dan bermusyawarahlah secara matang, rasional serta beretika.

"Saya percaya dengan komunikasi secara dua hala antara pelajar dan juga kerajaan melalui forum MPPK, diperkukuhkan lagi dengan bakat kepimpinan yang dimiliki oleh para ahli MPPK, solusi terbaik bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan pelajar-pelajar IPT akan dapat dicapai," katanya.

Muhyiddin berkata, dengan kehadiran wakil dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada Selasa turut membuktikan komitmen dan sokongan kerajaan dalam usaha memartabatkan peranan pelajar IPT melalui Mesyuarat Perdana MPPK.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!