Bicara kes saman fitnah Synergy terhadap Shahrir Samad pada 1 Jun 2022

SHAHRIL AB SAMAD
SHAHRIL AB SAMAD
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Selasa menetapkan 1 hingga 3 Jun 2022 sebagai tarikh baharu perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Ab Samad berhubung isu tanah agensi itu.

Peguam Brian Yee Hong Keet, yang mewakili Shahrir berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu semasa prosiding pengurusan kes menerusi aplikasi Zoom di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Tarikh perbicaraan sebelum ini pada 26 hingga 28 Oktober 2020 dilapangkan kerana ketika itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mahkamah menetapkan 21 April ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan dokumen berkaitan perbicaraan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Pada 4 Jun 2018, Synergy Promenade menyaman Shahrir yang ketika itu Pengerusi Felda, berhubung dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Penyataan tuntutan mendakwa kenyataan itu telah menyebabkan reputasi plaintif tercalar selain mengakibatkan syarikat tersebut kehilangan projek yang sedang diusahakan.

Syarikat itu memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan terbabit serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!