Sokong tawaran baharu diumum Muhyiddin
Sekarang bukan waktu sesuai wujudkan ketidakstabilan politik
IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menyifatkan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk mewujudkan sebarang ketidakstabilan politik di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana negara sedang menghadapi cabaran baharu dalam aspek kesihatan dan ekonomi.
Menurutnya, tawaran baharu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk mentadbir negara dengan penuh amanah dan berintegriti harus disambut oleh segenap lapisan masyarakat.
"Kami percaya bahawa PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri telah menunjukkan teladan yang amat baik dalam meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara komponen parti untuk memastikan pentadbiran yang telus serta kebajikan rakyat Malaysia sebagai teraju utama.
"Ini semestinya bukan masa yang sesuai untuk ketidakstabilan politik berlaku. PN perlu mendukung aspirasi semua rakyat Malaysia untuk memacu negara ke hadapan secara bersatu dan terancang," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Selasa.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, proses imunisasi Covid-19 di seluruh negara yang sedang rancak berjalan memerlukan sokongan penuh daripada segenap lapisan masyarakat.
Jelas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, kejayaan proses imunisasi Covid-19 itu penting bagi memastikan pemulihan ekonomi sepenuhnya dilaksanakan di peringkat nasional.
Menurutnya, disebabkan itu, PN Perak berikrar untuk memberikan sokongan penuh terhadap tawaran baharu tersebut serta semua usaha bagi memastikan kestabilan kesihatan, ekonomi dan politik.
Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur mengumumkan bahawa PN adalah tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa.
Beliau berkata, PN juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!