Mekanik buat senapang angin melalui YouTube ditahan
KEMAMAN - Tindakan seorang mekanik menghasilkan dua laras senapang angin melalui YouTube untuk memburu ayam hutan membawa padah apabila ditahan polis di sebuah kediaman di Jalan Mak Lagam di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di sebuah kediaman tidak bernombor bersama dua laras senapang angin dipercayai buatan sendiri jam 12.15 tengah malam.
"Hasil siasatan suspek mengaku membuat sendiri senapang angin dua minggu lalu selepas belajar melalui YouTube.
"Turut dirampas satu botol plastik lut sinar yang mengandungi cecair jernih dan lima biji guli yang dipercayai digunakan sebagai peluru senapang itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya, hasil saringan urin terhadap suspek mendapati suspek positif methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek direman selama tiga hari sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!