Jangan sediakan penyedut minuman
GEORGETOWN - Rakyat di negara ini menggunakan sebanyak 31 juta penyedut minuman plastik setiap hari dan jumlah itu boleh memenuhi lapan buah bas sekolah.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, sekiranya penggunaan bahan plastik sekali guna itu terus digunakan, jumlahnya menyamai 2,920 buah bas sekolah dalam setahun.
"Dalam menuju era 'Tak Nak Penyedut Minuman Plastik', kerajaan negeri meminta semua restoran untuk tidak lagi memberi penyedut minuman plastik kepada pengguna.
"Ia hanya boleh diberikan atas permintaan bagi mereka yang memerlukan sahaja seperti kanak-kanak, orang sakit dan warga emas. Penyedut minuman plastik yang dibuang akan memusnahkan hidupan marin dan turut mengancam kesihatan manusia," katanya.
Menurutnya, kaji selidik menerusi kempen 'Tak Nak Plastik Sekali Guna' mendapati 76 peratus penduduk Pulau Pinang menyokong usaha kerajaan negeri ini.
"Kaji selidik itu juga mendapati faktor ketersediaan di pasaran dan mudah untuk diperolehi menyumbang kepada peningkatan penggunaan barangan tersebut," katanya.
Boon Poh yang juga Naib Pengerusi Penang Green Council berkata, selain faktor itu, penyedut minuman plastik itu juga dibekalkan oleh pengusaha premis makanan dan minuman kerana ia mudah untuk digunakan, murah dan senang untuk dibuang.
"Daripada 1,948 responden, 76 peratus menyatakan sokongan manakala kurang daripada 15 peratus menentang. Sementara itu, 60 peratus responden setuju premis perniagaan perlu digalakkan untuk kurangkan pemberian plastik sekali guna dengan melaksanakan sistem ganjaran jika pengguna bawa bekas makanan atau minuman sendiri.
"Ini kerana, hampir separuh daripada responden lebih cenderung untuk buang barangan plastik ke dalam tong sampah selepas digunakan dan 29.5 peratus sahaja daripada mereka mengitar semula barangan plastik tersebut manakala 19.6 peratus lagi memilih untuk menggunakan semula barangan tersebut," katanya.
Menurutnya, walaupun majoriti responden memilih untuk membekalkan plastik sekali guna kerana mudah, namun mereka turut bersetuju untuk memilih alternatif yang lebih mesra alam.
"Antaranya dengan mengenakan bayaran bagi setiap barangan plastik yang diminta, membekalkan barangan plastik hanya dengan permintaan sahaja dan menyediakan khidmat pengisian air kepada pengguna.
"Di bawah 'Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030', penyedut minuman dan beg plastik sekali guna tidak akan dibekalkan menjelang tahun 2030," katanya.
Boon Poh berkata, ia akan melibatkan usaha kerajaan tempatan untuk mengenakan caj pencemaran dan memperkenalkan dasar 'Tak Nak Penyedut Minuman Plastik'.
"Pelan ini juga akan menyaksikan pelaksanaan ekonomi pekeliling untuk aktiviti kitar semula serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi dan industri kitar semula di rantau ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!