Maybank kekal rekod tanpa kalah
MAYBANK mengekalkan rekod bersih selepas tiga perlawanan untuk terus mengukuhkan kedudukan teratas carta Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan sembilan mata.
Pada perlawanan hari ini, dua pukulan sudut penalti oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-10 dan 37 membantu Maybank mengalahkan Nurinsafi 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Muhammad Haziq Samsul dan Hafifihafiz Hanafi masing-masing meledak gol padang pada minit ke-32 dan 44 bagi membantu pasukan itu membawa pulang tiga mata penuh.
Keputusan itu menyaksikan Maybank memulakan musim liga dengan langkah kanan dengan membelasah TNB Thunderbolts 5-0 pada Khamis lalu diikuti kemenangan tipis 1-0 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) dua hari kemudian.
Ketua jurulatihnya Azrul Effendy Bistamam berkata anak buahnya sekali lagi memulakan aksi dengan rentak perlahan sebelum mendapatkan semula semangat selepas jaringan gol kedua.
“Kita berjaya menggunakan kesempatan dan peluang yang ada untuk jaring gol, walaupun terlalu berhati-hati pada awal. Setakat ini, puas hati dengan pemain-pemain saya, tiga aksi ini adalah untuk kita pungut mata dan bina keyakinan pemain bahawa kita boleh dapat sesuatu (piala) untuk tahun ini,” katanya.
Azrul, bagaimanapun, mengingatkan anak buahnya supaya memperbaiki kelemahan yang dikesan pada perlawanan hari ini dan lebih berwaspada apabila berdepan dengan Terengganu Hockey Team (THT), Khamis ini.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal di tangga kedua dengan tujuh mata selepas menewaskan pasukan ‘adik’ TNB Thunderbolts 4-2.
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menghasilkan dua gol pada minit ke-42 dan 51 manakala gol lain oleh TNB dijaringkan Muhammad Shahril Saabah (17’) dan Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-52 manakala Thunderbolts membalas menerusi gol padang oleh Azril Misron pada minit ke-37 dan Muhammad Azammi Adabi pada minit ke-60.
Dalam pada itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak menghadapi masalah untuk menundukkan pendatang baharu, Sabah 4-0 menerusi jaringan Faridzul Afiq Mohd (7’ & 23’), Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi (30’) dan Muhammad Razie Abd Rahim (45’).
Walaupun berkongsi tujuh mata dengan TNB, UniKL kini menduduki tempat ketiga dengan perbezaan gol.
Selain itu, THT menduduki tempat keempat dalam liga dengan menewaskan UiTM 4-0, hasil jaringan hatrik oleh pakar pukulan sudut negara, Faizal Saari pada minit ke-21, 40 dan 58 manakala satu lagi gol disempurnakan oleh Muhammad Arif Syafie Ishak menerusi gaya yang sama pada minit ke-26.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!