KUALA PILAH - Seorang lelaki yang dipercayai menghidap penyakit sawan ditemui mati dalam longkang dalam keadaan tertiarap di Rumah Rakyat Melang di sini, pagi tadi. Lelaki tersebut, Sanusi Sulaiman, 51 ditemui oleh abang iparnya dalam longkang yang terletak kira-kira dua meter dari rumah kakaknya jam 9 pagi. Menurut kakaknya, Sabariah Sulaiman, 59, adik lelakinya itu belum berkahwin dan telah lama tinggal bersamanya selepas kematian ibu mereka. "Kebiasaannya dia akan bangun awal dan sarapan di dapur, namun berbeza hari ini. Bagaimanapun saya beranggapan dia keluar ke warung berhampiran untuk minum. "Namun, perasaan curiga timbul apabila usaha mencari di sekitar kawasan perumahan termasuk warung gagal sehinggalah suami saya ternampak sesuatu di dalam longkang. Lebih mengejutkan apabila didapati itu adalah mayat adik saya,” katanya yang memaklumkan adiknya mula dikesan menghidap sawan sejak tiga tahun lalu. Katanya, kebelakangan ini arwah sering diserang sawan selain pernah dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah. “Bagaimanapun, arwah enggan melakukan rawatan susulan dan ubat yang dibekalkan pihak hospital pun tidak dimakan. Mungkin ini punca mengapa penyakit itu sering berulang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut jam 9.30 pagi. "Siasatan awal mendapati tiada kesan jenayah di tempat kejadian dan proses bedah siasat akan dilakukan pada petang ini di HTAN untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.