Sudah tiba masanya rentas negeri dibenarkan
SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri kecuali mempunyai bukti kukuh tentang 'outbreaks' atau penularan baharu pandemik Covid-19.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes positif yang direkodkan sekarang bukanlah seperti penularan pada sebelum ini di mana kes menular atas situasi tertentu seperti penjara, depot tahanan dan asrama kilang yang padat.
“Ini menunjukkan bahawa kes melonjak kerana tiada amalan penjarakan sosial, prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi di tempat-tempat kerja, asrama dan depot tahanan.
“Saya ingin tegaskan tiada lonjakan yang mendadak daripada pergerakan ke negeri-negeri lain yang ketara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jadi katanya, pulang ke kampung halaman pada bila-bila masa bukanlah masalah yang sebenar.
“Derita ibu bapa tidak dapat berjumpa anak-anak dan sebaliknya bukan kepalang. Pada bila-bila masa sahaja kita boleh pulang tetapi yang penting ialah apabila kita pulang, SOP harus dipatuhi walaupun kita bersama saudara terdekat.
“Jika kita tidak dapat mematuhi amalan yang asas seperti elakkan 3S (sesak, sempit, sembang dekat) dan SOP yang lain, mungkin lebih baik kita elakkan risiko menjadi sumber dan punca jangkitan kepada emak ayah yang kita sayangi.
“Saya seperti anda juga, sudah lama tidak berjumpa ibu saya di kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan larangan rentas negeri akan terus dikuatkuasakan sehingga Syawal nanti.
Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan walaupun terdapat penurunan kes harian, namun belum masanya untuk kerajaan membuka pintu negeri secara total.
Dalam pada itu, Dzulkefly mengemukakan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan kerajaan pada ketika ini.
“Antaranya membenarkan dan membuka semua sempadan negeri tanpa sekatan kecuali ada bukti outbreaks.
“Melaksanakan ujian saringan RTK-Ag secara besar-besaran, memberi fokus kepada pematuhan SOP di tempat berisiko tinggi dan meningkatkan kesedaran kesihatan.
“Tidak ketinggalan, memberi kesedaran kepada rakyat bahawa vaksin adalah salah satu komponen melawan pandemik bukannya penyelesaian muktamad sehingga kita mencapai sasaran 80 peratus divaksinasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!