Kartel rokok seludup ancam negara

Tahun lalu, pemain industri tembakau memberi amaran jumlah rokok haram dijual di negara ini diramal meningkat kepada 70 peratus. - Foto 123RF
Tahun lalu, pemain industri tembakau memberi amaran jumlah rokok haram dijual di negara ini diramal meningkat kepada 70 peratus. - Foto 123RF
A
A
A

RAMPASAN rokok seludup terbesar dalam sejarah negara bernilai RM52 juta di perairan Pulau Kukup, Pontian, Johor baru-baru ini membuktikan masalah penyeludupan rokok tidak pernah selesai di negara ini, malah bertambah parah.

Apatah lagi, pihak berkuasa percaya sindiket penyeludupan rokok menggunakan kapal kargo itu dipercayai sudah lama beroperasi.

Sindiket itu menggunakan taktik mencampakkan kotak rokok yang diletakkan dalam plastik ke laut secara rambang sepanjang perjalanan dari Batam, Indonesia ke pantai barat Malaysia di Perak, sebelum ia dikutip kapal kecil tempatan.

Tiada siapa akan membantah hakikat tabiat merokok memudaratkan kesihatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati rokok adalah penyumbang utama kematian dengan 20,000 orang maut setiap tahun akibat merokok.

Kajian itu juga menunjukkan 22.8 peratus atau lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, dengan mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi, majoritinya lelaki.

Walaupun isu kesihatan amat membimbangkan, namun pada masa sama, ekonomi negara juga boleh sakit akibat kartel rokok seludup.

Tahukah anda, satu daripada dua batang rokok yang dihisap rakyat Malaysia adalah rokok yang diseludup?

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, pemain industri tembakau memberi amaran jumlah rokok haram yang dijual di negara ini diramal meningkat kepada 70 peratus.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatat kerugian cukai lebih RM5.1 bilion pada 2018 berikutan aktiviti penjualan dan penyeludupan rokok haram, lapor Oxford Economics.

Angka sebesar itu jika digunakan untuk dana Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM1,200 seorang, akan memberi manfaat kepada 4.2 juta penerima.

Ancaman rokok seludup memang tidak dapat dinafikan.

Sementara pelbagai pihak giat berkempen demi memastikan tabiat rokok ditangani, aktiviti sindiket haram mesti diperangi habis-habisan.

Kita juga harus menghentikan penjualan rokok haram yang berleluasa di pasaran tempatan.

Malangnya, kegiatan ini tidak akan berakhir selagi ada permintaan.

Maka, kerajaan harus mengambil tindakan bersepadu dan holistik supaya ekonomi gelap ini tidak terus-menerus mengancam negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!